PETALING JAYA: Pembangkang yang mencabar supaya mengadakan satu mesyuarat Khas Parlimen sebelum 9 Ogos adalah penderhakaan sebenar kerana tidak menghormati perkara yang telah diperkenan Yang di-Pertuan Agong.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Pakatan Harapan (PH) sepatutnya memberi tumpuan untuk membantu kerajaan dalam menangani pandemik Covid-19.
“Yang cabar supaya awalkan sidang khas itu sebenarnya yang derhaka. Mereka sepatutnya beri tumpuan kepada masalah rakyat, bukan cabar panggil sidang khas serta-merta.
“Kalau dibuat sidang khas sekalipun, masalah politik akan berterusan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam, ahli-ahli Parlimen blok pembangkang bersependapat bahawa satu mesyuarat khas Parlimen mesti diadakan segera dan tidak lewat dari 9 Ogos.
Menerusi satu kenyataan bersama, mereka berkata mesyuarat khas di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) itu adalah untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Shahidan turut mempersoal langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang telah mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan warkah terdahulu.
“Kalau hari ini nak serah SD baru pada Agong, berapa banyak kali nak serah? Berapa kali nak tukar kerajaan dalam masa setahun ini? Esok kalau ada yang dapat majoriti, persembahkan kepada Agong, tukar kerajaan lagi kah?
“Tunggu sahajalah Parlimen pada September ini sebab Agong telah perkenan untuk bawa usul undi percaya kepada Perdana Menteri,” katanya.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau turut mempersoal tindakan Ahmad Zahid yang tidak membuat perbincangan bersama ahli Parlimen terlebih dahulu sebelum kuputusan untuk menarik sokongan tehradap Perikatan Nasional (PN) dibuat.
“Dalam hal ini kenapa Presiden tidak bincang dengan kami sebagai ahli Parlimen walaupun sepatah? Peringkat awal masa nak tubuhkan PN, Presiden UMNO jumpa dengan kami dan hantar senarai Kabinet kepada Muhyiddin, sekarang bila nak tarik sokongan terhadap kerajaan, tak bincang dengan ahli Parlimen?
“Patutnya dia kena tanya ahli Parlimen. Kami mewakili UMNO dan majoriti ahli Parlimen tidak bersama dengan Presiden. Cuba lihat perkara ini dengan kenyataan MIC dan MCA,” katanya.