Shamsubahrin didakwa terima rasuah RM10,000 - Utusan Malaysia

Shamsubahrin didakwa terima rasuah RM10,000

SHAMSUBAHRIN Ismail hadir ke mahkamah berkerusi roda mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000 pada Mac lalu. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM10,000, Mac lalu.

Tertuduh, 55, yang hadir berkerusi roda memohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Pada 4 Ogos lalu, prosiding pendakwaan ditangguhkan selepas ahli perniagaan itu tidak hadir kerana disahkan positif Covid-19.

Mengikut pertuduhan, Shamsubahrin didakwa menerima wang tunai RM10,000 untuk dirinya daripada akaun Maybank milik Yusfazila Md. Yusoff sebagai dorongan untuk menyelesaikan kes seorang individu lelaki di Mahkamah Rayuan Putrajaya.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Ambank, Jalan Yap Kwan Seng di sini pukul 1.47 petang pada 4 Mac lalu.

Laporan media sebelum ini menyebut, wang itu kononnya untuk dibayar kepada timbalan pendakwa raya dan pegawai di Pejabat Peguam Negara yang menjalankan kes berkenaan.

Bapa kepada lima orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Abd. Muntaqim Abdul Aziz, menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor Azmi yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan rendah dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.

“Tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga dan perniagaannya sangat terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Rozina membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 1 Oktober ini untuk sebutan kes. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya