Shahanim kecewa kenyataan 'lawak' Sanusi - Utusan Malaysia

Shahanim kecewa kenyataan ‘lawak’ Sanusi

SHAHANIM MOHAMAD YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff kecewa dengan kenyataan ‘lawak’ Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor yang didakwa tidak menjaga hati dan perasaan rakyat di negeri ini yang kematian keluarga disebabkan Covid-19.

Shahanim menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya berkata, kenyataan Muhammad Sanusi yang meminta orang ramai yang mahu ‘masuk’ dalam kontena sejuk beku jenazah pesakit Covid-19 sebagai keterlaluan.

“Kalau boleh isu yang melibatkan kematian ni janganlah dibuat lawak jenaka. Mohon jaga hati rakyat yang terkesan dengan Covid-19 ini.

“Saya menyeru semua pihak, tidak kira siapa atau apa jawatan jagalah hati mereka yang kehilangan keluarga akibat Covid-19,” katanya dalam hantaran Facebook tersebut.

Muhammad Sanusi sekali lagi dikecam oleh netizen di media sosial berikutan kenyataan terbarunya, “kontena (sejuk beku) jenazah (pesakit Covid-19) mencukupi, siapa nak masuk, bagi nama” pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Amanjaya Sports Arena, Sungai Petani semalam.

Shahanim berkata, ketika ini, setiap hari terdapat kes kematian melibatkan pesakit Covid-19 dan ramai anak-anak mereka yang sudah menjadi anak yatim.

“Antaranya di Sungai Lalang, di sini seramai lapan orang anak kini yatim piatu kerana kehilangan ibu dan bapa disebabkan Covid-19, di Teluk Nipah, Kota Kuala Muda, seramai enam orang anak telah kehilangan ibu mereka dan banyak lagi kes-kes lain.

“Hiba sungguh bila dengar ayat-ayat seorang Menteri Besar yang langsung tiada simpati dan empati terhadap anak-anak yang telah kehilangan ibu bapa mereka,” katanya.

Beliau menambah, pihaknya menghargai dan berterima kasih dengan sumbangan kontena sejuk beku jenazah pesakit Covid-19 daripada aktivis sosial terkenal, Ebit Lew dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menampung mayat pesakit Covid-19 di negeri ini baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya