PETALING JAYA: Pelumba basikal acara keirin negara, Mohamad Shah Firdaus Shahrom yang terjatuh di veledrom Izu, Tokyo selepas berlanggar dengan pelumba Britain, Jack Carlin dikhuatiri mengalami keretakan tulang rusuk.
Namun ia diharap tidak akan menjejaskan peluangnya bersaing pada suku akhir yang akan berlangsung awal pagi esok.
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Persatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Dr. Amarjit Singh Gill melalui hantara di twitter berkata, beliau berada di khemah perubatan untuk melihat keadaan Shah Firdaus.
“Disyaki ada keretakan tulang rusuk akibat daripada kemalangan pada pusingan pertama keirin.
“Dia dikejarkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Dia kecewa tapi saya bersama-sama Tan Sri Norza Zakaria beritahu kesihatannya lebih penting,” katanya.
Dalam insiden itu Shah Firdaus kemudiannya meneruskan saingan dalam kategori repecharge untuk menamatkan perlumbaan di tempat kedua untuk layak ke suku akhir esok.