KUALA LUMPUR: Pernah berdepan dakwaan memanipulasi dan memperguna Allahyarham Wani Comel, usahawan dan selebriti media sosial, Datuk Aliff Syukri bagaimanapun memaafkan dan mahu insiden salah faham antara dia serta Allahyarham tidak diungkit lagi.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Aliff juga dengan rasa rendah diri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhirnya semalam akibat Covid-19.
“Saya maafkan segala yang berlaku. Mungkin ada hikmah di sebalik insiden tersebut. Semoga Allahyarham di tempatkan dalam kalangan mereka yang beriman.
“Saya juga mohon, apa yang berlaku antara kami biarlah sampai di situ sahaja. Tidak ada yang mengungkit dan memperbesar isu itu lagi,” katanya.
Wani Comel atau nama sebenarnya Nurul Airawani Nazira meninggal dunia semalam ekoran jangkitan Covid-19.
Allahyarham sebelum ini pernah mendapat perhatian rakyat Malaysia selepas isu berat badannya yang mencecah 300 kilogram (kg) tular di media sosial.
Dia selepas itu tampil membuat pendedahan dirinya dianiaya dan dimanipulasi seorang usahawan terkenal.