Selangor sumbang RM100,000 bantu mangsa tragedi kepala air - Utusan Malaysia

Selangor sumbang RM100,000 bantu mangsa tragedi kepala air

AMIRUDIN Shari (kanan) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Najmi Ahmad (tengah) di D'Yan Chalet, Titi Hayun, Yan, Kedah,  hari ini.- UTUSAN/NUR SYAZWANA MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YAN: Kerajaan Negeri Selangor memberi sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Kedah bagi menampung perbelanjaan kerajaan negeri membantu mangsa tragedi kepala air di Gunung Jerai, di sini pada 18 Ogos lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bantuan itu disalurkan untuk meringankan beban penduduk yang terlibat dalam tragedi itu.

Katanya, sumbangan itu juga adalah sebagai tanda solidariti dan keprihatinan Kerajaan Selangor terhadap musibah yang menimpa negeri ini.

“Terpulang kepada kerajaan negeri untuk menguruskan bantuan tersebut, saya faham mungkin nilai sumbangan ini terlalu kecil berbanding keperluan keseluruhannya.

“Tapi ia mungkin boleh digunakan untuk menghargai sumbangan petugas-petugas, sumbangan kepada mangsa terjejas atau membaiki rumah-rumah mangsa yang terjejas,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut di D’Yan Chalet, Titi Hayun di sini, hari ini.

Pada majlis itu, beliau menyerahkan replika cek sumbangan berkenaan kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Najmi Ahmad.

Selain itu, beliau memberitahu, pihaknya juga menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,000 dan kotak barangan makanan kepada enam ahli keluarga mangsa yang maut dalam tragedi kepala air tersebut.

Pada masa sama, tambahnya, sebanyak 1,000 kotak makanan bernilai RM150,000 serta beberapa dapur gas hasil sumbangan beberapa individu lain untuk diagihkan kepada mangsa terlibat.

“Bantuan kewangan tersebut disalurkan melalui Program Prihatin Belia Selangor (PBS),” ujarnya.

Beliau berkata, sejak semalam, seramai 50 sukarelawan PBS turut membantu melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan bencana dan urusan-urusan lain berkaitan bencana tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya