SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor mahu terus memperkasakan agenda belia di negeri itu melalui penubuhan Penggerak Belia Selangor (PeBS) yang akan dijadikan sebagai sebuah majlis sekiranya diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, kerajaan negeri kini dalam proses untuk mewujudkan Enakmen Majlis Penggerak Belia Selangor bagi merealisasikan perkara tersebut.
“Enakmen ini sekarang berada di Kamar Penasihat Undang-Undang Kerajaan Selangor untuk penelitian pegawai kamar tersebut.
“Sekiranya enakmen itu selesai disemak, kita akan membentangkannya dalam sidang DUN akan datang tetapi kalau tak sempat, ia akan dibentangkan pada sidang Disember nanti,” katanya dalam sidang akhbar dalam Program Pelancaran Logo PeBS di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor, di sini hari ini.
Menurutnya lagi, penubuhan PeBS sebagai sebuah majlis bagi melaksanakan agenda belianya sendiri tanpa dinaungi oleh mana-mana badan ataupun jabatan lain.
Mohd. Khairuddin menjelaskan, PeBS akan dinaungi di bawah Majlis Sukan Selangor yang mana pergerakan itu sebelum ini dikenali sebagai Penggerak Belia Tempatan (PeBT) di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri.
“Kerajaan negeri telah memperuntukkan kira-kira RM2.8 juta dalam memastikan pergerakan ini bergerak lancar. Peruntukan ini merangkumi elaun anggota, penganjuran aktiviti serta konvensyen di setiap cawangan PeBS di semua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor,” katanya.
Beliau berharap PeBS ini akan mengangkat agenda belia, di samping merancakkan lagi kerja-kerja kesukarelawan di seluruh negeri. – UTUSAN