PETALING JAYA: Penularan virus Covid-19 tidak menghalang sekumpulan anak seni untuk menganjurkan Temasya Rangkaian (Terang) secara dalam talian.
Terang menampilkan lima program utama yang menggabungkan beberapa aspek termasuk seni, kesusasteraan, muzik, gaya hidup, budaya, pembangunan dan masyarakat.
Salah seorang pengasasnya, Muhammad Faixyl dalam kenyataan berkata, temasya itu dianjurkan bagi mendekati khalayak dengan program yang lebih interaktif.
“Atas faktor ini, Terang memperkukuh pelbagai program termasuk wacana, bengkel dan persembahan yang tidak hanya memaparkan ilmu pembangunan manusia, seni dan kebudayaan malah menggalakkan perkongsian sesama panel dan audiens.
“Pandemik merubah hidup kita secara total. Maka melalui Terang, kami berharap dapat menjadi arena sokongan maya yang menyuburkan pemikiran,” katanya.
Program ini juga antara lain menjadi platform untuk penggiat seni memperoleh sumber pendapatan.
Terang yang bermula tujuh Ogos lalu, memuatkan lima program utama termasuk Bual Tekstual, Kembara Music Masa Hadapan, E-Sukan, Di Hati Filem dan Inisiatif Kreatif.
Temasya ini menampilkan barisan artis, pengkarya, pengkritik dan anak seni kreatif negara.
Kunjungi laman Instagram Temasyarangkaian untuk maklumat lanjut.