GEORGETOWN: Kemudahan sektor Perdagangan dan Pengedaran Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) terbaharu yang diumumkan kerajaan semalam belum dikuatkuasakan di Pulau Pinang.
Menurut kenyataan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Pulau Pinang pada masa ini masih belum mencapai kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa sekurang-kurangnya 50 peratus.
“Disebabkan itu, kemudahan sektor Perdagangan dan Pengedaran Fasa 2 PPN terbaharu yang diumumkan semalam masih tidak boleh dikuatkuasakan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, kerajaan mengumumkan sebanyak 11 sektor ekonomi akan dibuka semula untuk negeri-negeri Fasa 1 PPN berkuat kuasa hari ini.
Keputusan itu dibuat setelah mengambil kira data penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia di sebuah pasar raya di Jalan Gurney di sini mendapati, kebanyakan premis terutama kedai menjual pakaian belum dibuka kepada orang ramai.
Hanya premis menjual makanan dan minuman dibuka di situ namun perkhidmatan ‘dine-in’ belum dibenarkan kepada pelanggan.
Sementara itu, seorang pelanggan, Siti Aishah Abidin, 35, berkata, dia agak kecewa apabila mendapati kedai menjual pakaian di pasar raya berkenaan masih belum dibuka kepada pelanggan.
“Saya datang ke pasar raya hari ini untuk membeli pakaian baharu, namun rupa-rupanya di Pulau Pinang kedai pakaian masih belum dibuka.
”Saya berharap kedai menjual pakaian dan 11 sektor lain yang diumumkan sebelum ini dapat dibuka tidak lama lagi untuk kemudahan pelanggan,” katanya. – UTUSAN ONLINE