KUALA LUMPUR: Persatuan dalaman Universiti Teknologi Mara (UiTM) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Pengajian Tinggi (JPT) menyelesaikan segera isu pelantikan Naib Canselor universiti itu yang baharu.
Menurut kenyataan bersama Kesatuan Kakitangan Akademik UiTM (MITASA), Persatuan Kakitangan Akademik UiTM (UTiMAS) dan Kesatuan Kakitangan Umum UiTM (KKUUiTM), penangguhan pelantikan Naib Canselor sedikit sebanyak menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan anggota masyarakat.
“Kami telah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan pandangan dan cadangan bagaimana isu itu dapat diselesaikan serta tidak berpanjangan.
“Kami menaruh kepercayaan terhadap kebijaksanaan Perdana Menteri untuk meneliti perkara ini seterusnya menyampaikan nasihat yang bersesuaian supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, pelantikan Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor sebagai Naib Canselor UiTM yang baharu ditangguhkan melalui sepucuk surat yang bertarikh 7 Ogos lepas.
Pelantikan beliau sebelum ini dibuat oleh bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad melalui sepucuk surat bertarikh 2 Ogos.
Tegas kenyataan itu, pihaknya juga tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap mana-mana calon yang memohon jawatan atau yang disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan, malah sehingga kini tidak pernah dimaklumkan secara khusus nama-nama calon tersebut.
“Namun kami percaya pemilihan Roziah sudah melalui proses saringan dan temuduga serta mematuhi kriteria yang ditetapkan Jawatankuasa Pemilihan.
“Kami juga ingin tegaskan bahawa pihak kami tidak pernah mengeluarkan sebarang surat atau kenyataan membantah pelantikan tersebut memandangkan kami sendiri tidak dimaklumkan secara langsung siapa yang terpilih untuk menjawat jawatan tersebut,” katanya.
Katanya, pihaknya juga konsisten bahawa pelantikan Naib Canselor harus dibuat secara telus dan tidak dipengaruhi unsur-unsur negatif yang boleh mendatangkan kesan tidak baik terhadap imej UiTM sebagai institusi pendidikan tersohor.
“Kami berharap UiTM dapat terus menjalankan tanggungjawab sebagai sebuah institusi penting untuk bumiputera tanpa dipengaruhi sebarang pengaruh politik kepartian.
“Sekali lagi kami berharap isu ini dapat diselesaikan seberapa segera dan pihak kami bersedia pada bila-bila masa untuk menyumbang idea dan tenaga sekiranya dirasakan perlu,” katanya. – UTUSAN ONLINE