PETALING JAYA: Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa para petani menolak projek Smart Sawah Berskala Besar (SBB) kerana dilihat menjejaskan kawasan sawah pada masa hadapan.
Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) dan Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 30 peratus kawasan estet akan digunakan untuk ternakan udang galah manakala bakinya bagi tanaman padi.
Katanya, hal itu dipandang serius berikutan perkembangan terkini menunjukkan jelas bahawa projek SBB memberi kuasa kepada pengurusan estet untuk melakukan apa sahaja yang mereka mahu.
“Sebelum ini, para petani diberitahu bahawa projek SBB ini memfokuskan penambahbaikan penanaman padi untuk meningkatkan hasil.
“Sasaran yang ditetapkan adalah meningkatkan tahap sara diri (SSL) beras kepada 75 peratus dan pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan metrik per hektar dan pendapatan petani ditingkatkan kepada RM7,000 setahun per hektar.” kata kenyataan itu.
Sabtu lepas, projek SBB mempromosikan aktiviti ternakan udang dalam kawasan estet sawah ini untuk dilaksanakan secara integrasi bersama tanaman padi.
Tambah kenyataan itu, tidak sampai setahun projek itu berjalan, pihak estet mengubah strategi dengan mahu menternak udang dan menimbulkan keraguan kerana pihak peneraju sendiri dilihat tidak yakin dengan perancangan tanaman padi ‘smart’ mereka sendiri.
“Projek ternakan udang harimau atas tanah sawah di Kerpan, Kedah menjadi sejarah pada awal tahun 90-an yang sepatutnya mengajar kita bahawa apabila tanah sawah dijadikan kolam udang, ia membawa masalah lain seperti pencemaran tanah dan air.
“Kami juga menerima banyak maklum balas daripada para pesawah yang menyatakan ramai petani muda akan dipinggirkan jika tuan tanah ditawarkan bayaran sewa yang lebih tinggi oleh syarikat,” katanya.
Menurut kenyataan itu, PeSAWAH dan FKMM menyarankan para petani menolak projek smart SBB dan merujuk dahulu kepada petani yang lebih berpengalaman atau mereka yang mahir dalam meneliti surat perjanjian sebelum menandatangani apa-apa perjanjian.
“Kami menyarankan agar konsep pertanian berkelompok yang diterajui pertubuhan dilaksanakan di kawasan-kawasan sawah yang terbiar, kurang berhasil atau masih ketinggalan dari segi infrastruktur.
“Kawasan yang sudah sedia ada pengusahanya pula, janganlah diganggu dan mensia-siakan usaha mereka kerana pada ketika ini, ramai pesawah berjaya mencapai hasil sehingga enam ke tujuh tan metrik sehektar atas usaha mereka sendiri.” katanya. – UTUSAN ONLINE