PETALING JAYA: Pelakon dan pengacara sensasi, Rozita Che Wan menegaskan, dia enggan memanjang isu persengketaannya dengan pengacara terkenal, Azwan Ali.
Kata Rozita atau mesra disapa Che Ta, dia hanya mengikuti sahaja proses yang telah ditentukan kerana Azwan atau Diva AA yang memulakan dahulu.
“Kita ini hanyalah manusia biasa yang tidak punya apa-apa. Kami juga dalam industri yang sama dan kenapa pula perlu bermusuh?
“Saya terbuka dan berharap perkara ini dapat diselesaikan secara baik seandainya dia juga sedia untuk berkerjasama,” katanya.
Terdahulu, Che Ta hadir ke Ibu pejabat Polis Travers, Brickfields petang tadi untuk memberi keterangan berkaitan laporan polis yang dibuat oleh Diva AA.
Katanya, keterangan itu dibuat sebagai maklum balas terhadap laporan polis bertarikh 13 Ogos itu.
“Saya hanya memberi keterangan berdasarkan apa yang dilaporkan oleh pihak yang satu lagi.
“Atas nasihat peguam, tidak banyak yang boleh diceritakan sehinggalah isu ini selesai,” katanya.
Turut hadir adalah suaminya, Zain Saidin dan pengurus, Afiq yang turut memberi keterangan.
Semalam, Diva AA membuat laporan polis terhadap Che Ta yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadapnya.
Menerusi laporan yang dibuat Diva AA menyifatkan kenyataan Che Ta telah merosakkan imejnya sebagai anak seni ekoran kenyataan tersebut
Terdahulu, Diva AA atau nama sebenarnya Mohamed Azwan Ali, 55, juga dilaporkan merancang untuk mengambil tindakan saman berjumlah RM5 juta terhadap pelakon popular itu.