KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz mengakui telah menandatangani surat akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri.
Menurut laporan The Star, beliau berbuat demikian ketika hadir di sebuah hotel tengah hari tadi.
“Saya sudah tandatangan SD dan saya rasa semua ahli Parlimen UMNO patut sokong, termasuk yang tidak menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Dia bukan lagi Perdana Menteri, jadi tiada sebab untuk tidak tandatangan,” katanya.
Difahamkan, Usaha mengumpul SD dipercayai masih lagi diteruskan oleh Ismail Sabri di Royal Chulan Kuala Lumpur bagi mendapatkan sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu. – UTUSAN ONLINE