Saya pun bersedih, tapi kena positif - Siti Sarah - Utusan Malaysia

Saya pun bersedih, tapi kena positif – Siti Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEHARUSNYA, dalam keadaan dirinya yang sedang sarat hamil lapan bulan, Siti Sarah Raisuddin, tidak perlu memikirkan pelbagai hal berat lain dan meletakkan fokus pada kandungan dan rehat secukupnya.

Namun, satu persatu hal datang menerpa dan menerusi pengumuman diri, suami dan tiga anaknya yang disahkan positif Covid-19 beberapa hari lalu, ia sudah tentu cukup memberi tekanan buat penyanyi ini.

Siapa sangka, bermula daripada isu Macau Scam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pelbagai kontroversi dalam media sosial, terpalit dengan penipuan seorang wanita berlagak ‘dropshipper’ jenama tudungnya, Siti Sarah bahkan sehingga kini masih mampu mengukir senyuman walau diduga berat.

Melewati satu demi satu ujian tersebut dalam hidupnya, Siti Sarah berkongsi luahan dan rasa hatinya bersama pembaca Pancaindera kali ini.

Bagaimana keadaan Sarah dan keluarga sekarang selepas disahkan positif Covid-19?
Buat masa ini, kami sama sahaja seperti mana-mana orang lain yang sedang menjalani kuarantin di kediaman sendiri selama dua minggu.

Memandangkan saya seorang ibu, maka mahu atau tidak, saya perlu juga gagahkan diri untuk menjadi tulang belakang kepada keluarga walaupun diri sendiri tidak begitu sihat. Saya dan Shuib sama-sama memikirkan dan menekankan keutamaan pada keadaan anak-anak.

Iyalah,mana ada ibu bapa yang tergamak mahu melihat anak-anak tersayang jatuh sakit dan lemah lebih-lebih lagi Covid-19 ini adalah wabak yang membahayakan. Jadi apabila anak-anak juga terkena wabak ini, saya sangat bimbang dan sedih.

Apa agaknya punca yang menyebabkan Sarah sekeluarga terkena jangkitan?
Saya tak pasti. Tapi individu pertama yang dijangkiti dan positif ialah pembantu rumah kami. Nak kata kami tak jaga bab prosedur operasi standard (SOP), kami sudah melakukan yang terbaik sekeluarga. Tak keluar rumah dan sebagainya.

Lagipun, sekarang wabak ini pun sudah semakin cepat merebak dan ada kemungkinan dikatakan merebak melalui udara. Tapi kita pun tak tahu macam mana. Mungkin inilah ujian yang perlu kami tempuhi.

Bercakap pasal ujian, ramai tahu Sarah baru sahaja terpalit dengan isu scammer menerusi jualan tudung jenama Loveta dan tidak sampai dua minggu, didatangi pula dengan musibah ini. Apa komen Sarah?

Bagi saya, tiada siapa mahu dirinya terlibat atau ditimpa masalah. Semua orang mahu sihat, mahu selesa,senang, urusannya dipermudahkan dan hidup tenang dan gembira. Tapi sebagai manusia, mana mungkin kita terlepas daripada ujian.

Macam saya katakan, ujian ini datangnya juga daripada Allah SWT dan sebagai seorang hamba-Nya, saya dan keluarga terima dengan hati terbuka dan berlapang dada. Saya tidak pasti apakah hikmah terbaik yang Allah SWT nak berikan kepada kami sekeluarga. Insya-Allah, mudah-mudahan.

Bermula dengan Shuib dikaitkan dengan scam, pelbagai selingan isu-isu kontroversi dalam media sosial, sehinggalah kini berdepan pula ujian sakit, apa pandangan Sarah mengenai segala yang berlaku ini?
Saya berpegang kepada kata-kata bijak, seseorang itu diuji dengan pelbagai masalah, sakit, kesusahan atau apa sahaja musibah melainkan Allah SWT itu mahu mengangkat darjat dan memberikan ganjaran buat seseorang hamba-Nya itu.

Bohonglah kalau saya katakan tidak bersedih, tetapi saya tidak mahu terlalu dibelenggu perasaan itu. Sebab itu, saya sedaya upaya mahu lebih berfikiran positif kerana minda yang diset sebegitu, secara tidak langsung menyalurkan energi yang baik kepada tubuh badan dan demi kesihatan. Saya, Shuib dan anak-anak, tentunya hanya mampu bersabar, reda dan tawakal. Orang kata, sakit juga penghapus dosa.

Bagaimana dengan kandungan dalam situasi sekarang, Bimbang tak?
Setakat ini, kandungan saya baik-baik sahaja. Bukanlah kata tak bimbang, tapi saya tak mahu terlalu stres demi menjaga kandungan dan juga kena kuat untuk suami dan anak-anak. Sebarang keraguan atau apa sahaja mengenai masalah kesihatan, saya akan rujuk kepada doktor peribadi yang memantau perkembangan kandungan ini.

Insya-Allah, saya dijangka bersalin pada hujung September ini. Tiada lain yang saya harapkan melainkan semua pihak, peminat dan pengikut agar mendoakan kesejahteraan dan kebaikan buat kami sekeluarga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya