`Saya naik angin kerana disaman' - Utusan Malaysia

`Saya naik angin kerana disaman’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Saya minta maaf atas kesalahan saya. Masa kejadian saya mempunyai masalah, rumah dan sewa belum dibayar, apabila kena saman, saya jadi naik angin,” demikian rayuan seorang pemilik sebuah restoran sebelum Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman terhadapnya.

Benjamin Joseph Peter, 48, mengemukakan rayuan meringankan hukuman selepas mengaku bersalah menghalang dua pembantu penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas dan mengeluarkan kata-kata kurang sopan terhadap mereka.

Bagaimanapun, Majistret Atiqah Mohamed menjatuhkan hukuman penjara sehari serta denda RM1,000 atas kesalahan tersebut.

Tertuduh didakwa menghalang Zuebadreiza Badruldin, 47 dan Luqmanul Hakim Abdul Hadi, 27, daripada mengenakan kompuan terhadapnya di restoran itu di Jalan Sri Jati, Taman Sri Jati, di sini pada 1.21 petang, 26 Ogos lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara bermula hari ini dan dipenjara dua minggu lagi sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu yang sedang membuat pemeriksaan di premis kepunyaan Benjamin telah mengenakan dua kompaun terhadapnya atas kesalahan meletakkan gerai roda tiga di kaki lima premis dan gagal menyediakan buku daftar.

Semasa kompaun dikeluarkan kepada tertuduh, dia telah membuat provokasi dengan memaki menggunakan bahasa kesat dan menghalang pengadu daripada menjalankan tugasnya. Pengadu kemudian membuat laporan polis.

Ketika rayuan, bapa dua anak itu yang tidak diwakili peguam merayu dikenakan hukuman ringan selain memohon maaf akan perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Khaliq Nazeri memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan supaya memberi pengajaran terhadap tertuduh dan orang awam agar kesalahan sebegini tidak berulang terhadap penjawat awam yang lain.

“Dalam kes ini pengadu sebagai penjawat awam hanya menjalankan tugas, namun telah dimaki dengan kata kata kesat oleh tertuduh yang mana tindakan itu tidak sepatutnya dilakukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya