Sarjan Frankie tak mengaku ambil dadah - Utusan Malaysia

Sarjan Frankie tak mengaku ambil dadah

ANGGOTA polis berpangkat sarjan, Frankie Anak Rimong didakwa di mahkamah atas tuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret di Johor Bahru, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang anggota polis berpangkat sarjan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badannya, awal bulan ini.

Bagaimanapun tertuduh, Frankie Anak Rimong, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret R. Salini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memberikan dadah berbahaya jenis ketamin ke dalam tubuh badannya sendiri.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada pukul 10.55 pagi di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan, 6 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadap lelaki itu dibuat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun, jika disabit kesalahan.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yiew manakala tertuduh diwakili peguam, Chuah Shyue Chien.

Choon Yiew mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan kepada tertuduh.

Sementara itu, peguam tertuduh pula dalam rayuannya memohon jaminan dikurangkan memandangkan lelaki itu mempunyai tanggungan empat orang anak termasuk seorang bayi berusia 10 bulan.

Majistret kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dan menetapkan 5 Oktober depan sebagai sebutan semula kes.

Frankie merupakan salah seorang daripada enam anggota dan pegawai polis yang ditahan dipercayai mengambil dadah ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di sekitar kawasan bandar raya, 6 Ogos lalu.

Kesemua mereka ditahan bersama 62 individu yang lain ketika sedang leka berhibur di pusat hiburan berkenaan.

Dua inspektor dan seorang anggota polis yang ditahan itu sudah dituduh di Mahkamah Majistret di sini pada 15 Ogos lalu, bagaimana pun ketiga-tiga mereka juga mengaku tidak bersalah selepas didakwa bagi pertuduhan menggunakan dadah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya