GEORGETOWN: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menggerakkan pasukan untuk membaiki dua saluran paip air mentah yang pecah di muka sauk air Titi Kerawang, Balik Pulau, di sini, bermula hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, dua saluran paip air mentah itu rosak selepas ditimpa batu ekoran cuaca buruk.
“Batu-batu yang jatuh merosakkan saluran paip air mentah 150 milimeter (mm) dan 225mm yang mana saluran air ini menyalurkan air dari muka sauk air mentah ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Pinang yang terletak kira-kira 500 meter ke hilir.
“Berikutan kejadian ini, kapasiti pengeluaran LRA Sungai Pinang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, LRA Sungai Pinang mengeluarkan purata 12.9 juta liter sehari (JLH) air terawat yang sebahagian besarnya dibekalkan kepada pengguna air di kawasan Balik Pulau.
Katanya, PBAPP telah mengaktifkan pelan kontingensi untuk mengepam air terawat tambahan dari rumah-rumah pam Teluk Kumbar dan Teluk Bahang bagi meminimumkan impak kejadian itu terhadap perkhidmatan bekalan air di Balik Pulau.
“Pada masa sama, pasukan lori tangki air PBAPP bersiap sedia menghantar air terawat kepada pengguna yang tinggal di kawasan tinggi atau di kawasan hujung saluran paip,” katanya. – UTUSAN ONLINE