PETALING JAYA: Kebanjiran warga asing di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Rumah Prihatin Hotel Grand Season berpunca salah faham kononnya lokasi itu menyediakan perkhidmatan daftar terus untuk mereka.
Rumah Prihatin Hotel Grand Season dalam kenyataan menjelaskan, sedangkan pengambilan vaksin secara daftar terus untuk warga asing adalah di PPV Bukit Jalil.
Kata kenyataan itu, kejadian berkenaan menyebabkan berlaku kesesakan luar jangka pengurusan dan pihak penguat kuasa.
“Pada peringkat awal, pihak Rumah Prihatin mengambil tindakan bersama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyuraikan keadaan.
“Namun warga asing ini tetap tidak mahu bersurai walaupun telah diberikan arahan dan amaran. Keadaan kembali diperbetulkan dengan bantuan PDRM dan DBKL,” kata kenyataan itu semalam
Utusan Online semalam melaporkan kebimbangan orang ramai apabila Rumah Prihatin Hotel Grand Season dibanjiri warga asing yang beratur untuk mengambil suntikan vaksin.
Dalam maklum balas segera, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pihak berkuasa mengatasi segera isu kesesakan itu seperti yang tular dalam media sosial hari ini.
Dalam pada itu, kenyataan sama memaklumkan program vaksinasi ini diuruskan oleh Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi MyMedik@Wilayah dan tidak melibatkan mana-mana pihak lain.
“Pihak Rumah Prihatin kesal dengan apa yang terjadi dan akan meningkatkan lagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dengan bantuan pihak berkuasa bagi memastikan kejadian ini tidak berulang lagi.
“Kami ingin menegaskan bahawa Rumah Prihatin hanya menerima pendaftaran terus untuk warga Malaysia sahaja dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kelainan upaya, kelompok terpinggir dan golongan rentan sahaja,” katanya. – UTUSAN ONLINE