PETALING JAYA: Penyanyi terkenal, Elyana Emrizal memberi penjelasan berkenaan keadaannya kini, selepas memuat naik beberapa hantaran di Instagram yang mengundang kebimbangan ramai pihak semalam.
Menerusi Instastory, dia tampil menjelaskan keadaan kesihatannya baik dan masih boleh bertahan walaupun setiap hari mengalami kesakitan.
Seterusnya, penyanyi lagu Kalis Rindu itu sempat menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang sentiasa mendoakan kesembuhannya dan menitipkan semangat buat dirinya.
“Terima kasih untuk semua yang sudi mendoakan saya dan menghantar pesanan untuk memberi kata-kata semangat.
“Jangan risau, saya okey Alhamdulillah. Sakit memang sakitlah, setiap hari sakit. Tetapi selagi ada daya untuk bertahan, saya akan bertahan.
“Anda semua doakan semoga saya diberikan kekuatan, semangat serta tenaga yang luar biasa daripada Allah untuk teruskan kehidupan sekaligus dapat menggembirakan orang sekeliling saya,” tuturnya bernada riang di Instastory.
Sebelum ini, Elyana tampil berkongsi perasaan dalam berdepan kesakitan dialaminya apabila memuat naik beberapa perkongsian Instastory yang agak menyentuh perasaan semalam.
Menerusi perkongsian berkenaan, dia juga menceritakan rasa sakit dialami yang disifatkannya tidak pernah surut.