LONDON: Manchester United mengesahkan Cristiano Ronaldo bakal membuat kepulangan sensasi ke Old Trafford selepas mencapai persetujuan dengan Juventus, hari ini.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu dijangka menandatangani dua tahun perjajian dengan syarat diberikan visa dan lulus dalam ujian perubatan.
United dilaporkan bersetuju membayar 20 juta euro (RM98 juta) kepada kelab gergasi Itali itu dengan bonus sehingga 3 juta euro (RM14.78 juta).
“Manchester United gembira mengesahkan bahawa kelab sudah mencapai persetujuan dengan Juventus bagi perpindahan Cristiano Ronaldo, tertakluk kepada terma peribadi, visa dan laporan perubatan,” kata United dalam satu kenyataan.
Terdahulu, bintang Portugal tersebut dikaitkan ke Manchester City, namun selepas khabar angin itu bertiup kencang kira-kira selama 48 jam, ejen Ronaldo, Jorge Mendes hari ini mengesahkan kelab itu tidak lagi berminat untuk mendapatkan penyerang terbabit.
Ronaldo bakal membuat kepulangan semula selepas 12 tahun meninggalkan Old Trafford bagi menyertai Real Madrid diikuti Juventus.- AGENSI