LONDON: Ole Gunnar Solskjaer menjangkakan kehadiran semula Cristiano Ronaldo ke Manchester United selepas 12 tahun bakal menyuntik motivasi luar biasa buat skuad Red Devils.
Pengendali United itu berkata, kepulangan sensasi Ronaldo bakal diumumkan secara rasmi selepas penyerang tersebut melengkapkan laporan perubatan.
“Sudah tentu penyokong sangat teruja sejak beberapa hari lalu, kami juga begitu. Dia melalui perjalanan karier yang sangat menakjubkan dan dia pernah berada di sini.
“Diharap kami dapat menyiapkan kertas kerja dan mengumumkannya secara rasmi. Sudah tentu dia memberikan aura kepada semua orang termasuk pemain serta penyokong.
“Saya pernah bermain bersamanya, dia pemain yang hebat. Dia memiliki kemampuan luar biasa, Dia sangat profesional.
“Dia pastinya akan menyuntik motivasi luar biasa kepada semua orang di kelab ini,” kata Solskjaer selepas menyaksikan anak-anaknya mengatasi Wolves 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Stadium Molineux, semalam.
Bintang Portugal itu bakal membuat penampilan semulanya di Old Trafford ketika menentang New Castle pada 11 September ini.
Turut senada, bek kiri Luke Shaw, yang menyifatkan bekas penyerang Real Madrid dan Juventus itu akan memberikan nafas baharu buat Red Devils.
“Saya rasa dia akan memberikan kelainan dalam skuad Red Devils. Bukan sahaja di dalam, malah di luar padang. Sangat jelas aura positifnya. Dia pernah menjadi pemain terbaik dunia beberapa kali.
“Semua orang teruja untuk kepulangan semulanya. Bukan setakat boleh belajar daripadanya, malah kami juga boleh bermain bersamanya,” kata Shaw.- AGENSI