PETALING JAYA: Sistem pendidikan Islam yang semakin ketinggalan perlu disusun semula dalam meneruskan pengajian berikutan lebih 1,400 pusat tahfiz di negara ini tidak beroperasi akibat pandemik Covid-19.
Menurut Presiden Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulamak Malaysia, Ahmad Dusuki Abdul Rani, sistem pendidikan Islam yang sedia ada menyebabkan ramai pelajar pusat tahfiz ketinggalan dalam pengajian mereka.
Katanya, jika perkara ini berterusan, kesannya kemungkinan 10 tahun yang akan datang tidak ada lagi pelajar yang menghafal al-Quran dan tidak ada lagi anak-anak yang berakhlak.
“Kesannya tidak pada hari ini, tetapi mungkin dapat dilihat pada masa akan datang. Ramai orang tidak berminat masuk pusat tahfiz dan tiada orang yang mahu dididik mengikut ajaran al-Quran dan Sunnah.
“Maka, lahirlah anak-anak berjiwa kosong dan hanya melakukan perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Mingguan Malaysia melaporkan, lebih 10,000 atau 50 peratus pelajar pusat tahfiz di seluruh negara tercicir dalam pengajian mereka ekoran pelaksanaan tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu hingga kini.
Ahmad Dusuki berkata, guru-guru pusat tahfiz juga perlu kreatif dan bijak menggunakan semua teknologi dalam mencurahkan ilmu secara ‘online’ yang sebelum ini hanya mengajar di pusat tahfiz, masjid dan surau.
“Dalam masa setahun hingga dua tahun akan datang, pusat tahfiz perlu mengajar secara maya kerana itu sahaja cara yang dapat membantu pelajar,” jelasnya
Justeru, tambahnya, pusat tahfiz perlu menyusun semula sistem itu mengikut aliran semasa supaya dapat mempertingkatkan teknologi pengajian Islam dalam kalangan pelajar tahfiz.
Menurut Ahmad Dusuki, pusat tahfiz termasuk swasta perlu diambil berat oleh kerajaan Pusat dan kerajaan negeri untuk membantu pusat tersebut dari segi kewangan dan membantu menyusun kembali sistem pendidikan Islam yang sebelum ini hanya dipandang sebelah mata.
Katanya, tiba masanya pihak berkuasa membantu guru yang banyak memberi sumbangan terhadap pendidikan Islam di negara ini dalam membentuk generasi yang berakhlak dan bukan hanya membiarkan mereka berhenti mencurahkan ilmu.
“Saya menggesa kepada guru-guru supaya tidak berputus asa dalam melahirkan masyarakat yang berakhlak, terdidik dan dibentuk dengan didikan al-Quran dan Sunnah.
“Anggap semua ini satu cabaran, bukan perkara yang melemahkan semangat kita,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE