TOKYO: Juara dunia dua kali Yulimar Rojas dari Venezuela memecahkan rekod dunia ketika menyambar pingat emas dalam acara lompat kijang di Sukan Olimpik 2020, sebentar tadi.
Atlet berusia 26 tahun itu melakukan lompatan sejauh 15.67 meter, sekali gus membenam rekod terdahulu 15.50m yang dipegang Inessa Kravets dari Ukraine sejak 1995.
Ia juga merupakan rekod dunia pertama yang dicatatkan dalam sukan olahraga di Olimpik Tokyo.
Sementara itu, atlet Portugal, Patricia Mamona meraih perak dengan rekod kebangsaan 15.01m.
Ana Peleteiro dari Sepanyol, melakukan lompatan 14.87m, yang juga rekod kebangsaan, untuk merangkul gangsa.
Peleteiro meraih pingat tersebut pada lompatan kelima, sekali gus menafikan peluang Shanieka Ricketts untuk menyambar gangsa dengan beza 3cm.- AGENSI