PETALING JAYA: Dengan sekali lafaz, pelakon, Remy Ishak, 39, sah bergelar suami kepada usahawan, Ezza Yusof, 38.
Kedua pasangan disatukan dalam upacara pernikahan serba ringkas bertempat di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.
Majlis pernikahan tersebut dihadiri pasangan mempelai dan abang kepada pengantin perempuan, Rozman Yusof dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Ezza yang berwakil walikan Rozman menerima sebentuk cincin sebagai mas kahwin.
Kedua pasangan tampil menawan dengan persalinan serba putih rekaan pereka tempatan, Mirul Jonit selain sentuhan gaya Tym Fatimah dan tata rias, Chomel.
Remy atau nama sebenar Mohammad Zalimei Ishak dalam kenyataan memanjatkan kesyukuran dan memohon doa peminat untuknya dan isteri.
“Maka bermulalah perjalanan baharu bagi kami sebagai pasangan suami dan isteri. Mohon mendoakan kebaikan dan kesejahteraan buat kami berdua,” katanya.
Remy dan Ezza mengikat tali pertunangan pada 2017 namun ikatan perhubungan terputus pada 2019.
Hubungan mereka bagaimanapun kembali pulih pada tahun ini.
Pasangan ini sepatutnya mengadakan pernikahan pada Mei lalu, namun terpaksa dibatalkan akibat pandemik Covid-19. – UTUSAN