JOHOR BAHRU: Reman melibatkan bekas Datuk Bandar Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) yang kini bertugas di Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) disambung selama empat hari bermula hari ini.
Suspek berusia 60 tahun sebelum ini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kegiatan menerima wang rasuah daripada kontraktor bagi setiap kelulusan projek-projek yang dilaksanakan di bawah kendalian MBIP dahulu.
Permohonan sambung reman itu dibenarkan Majistret Mardiana Mamat di Mahkamah Sesyen 2, di sini hari ini selepas dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Siasatan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Sementara itu, seorang bekas penjawat awam ditahan reman selama enam hari dipercayai bersekongkol dengan Datuk Bandar terbabit untuk melakukan kegiatan rasuah di pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Perintah reman tersebut turut dikeluarkan Mardiana selepas lelaki berusia 60 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM negeri pada pukul 9 malam, semalam untuk membantu siasatan.
Datuk Bandar itu diwakili peguam, Omar Kutty dan Hazza Khalid, sementara Hazza turut mewakili individu terbabit.
Menurut sumber, suspek dipercayai bertindak selaku orang tengah antara Datuk Bandar dengan pihak kontraktor.
“Hasil siasatan dijalankan mendapati suspek telah bertindak sebagai orang tengah kepada Datuk Bandar bagi mendapatkan wang rasuah daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan meluluskan kerja yang dilaksanakan oleh kontraktor.
“Kegiatan tersebut dipercayai dilakukan mereka bagi projek-projek yang dikeluarkan MBJB pula dalam tahun 2020 dan tahun ini,” jelasnya.
Tambah sumber itu, kes terhadap orang tengah itu turut disiasat di bawah Seksyen 17(a). – UTUSAN