Remaja 14 tahun didakwa pecah masuk pasar raya - Utusan Malaysia

Remaja 14 tahun didakwa pecah masuk pasar raya

SEORANG remaja berusia 14 tahun (kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kangar, Perlis hari ini selepas didakwa atas tuduhan memecah masuk bangunan pasar raya dan mencuri telefon bimbit. - UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang remaja berusia 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan memecah masuk bangunan pasar raya Kompleks Tok Arau dan mencuri telefon bimbit di situ, 4 Ogos lalu. 

Tertuduh yang ditemani ibunya mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Kamaliza Md. Zain. 

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa memecah masuk bangunan pasar raya Kompleks Tok Arau kira-kira pukul 4 pagi hingga 4.30 pagi. 

Tertuduh yang merupakan anak bongsu daripada empat adik-beradik itu didakwa mencuri 25 telefon bimbit milik kedai Bijak Teknologi dan lima lagi milik LS Digital Teleshop. 

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika disabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Jodia Por Yi Tying manakala tertuduh diwakili oleh peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Najdah Muhamad Romli. 

Najdah memohon agar tertuduh dapat diberi jaminan pada kadar yang minima memandangkan remaja yang tidak bersekolah tersebut masih dibawah tanggungan ibunya yang sudah bercerai dan bekerja sebagai pengawal keselamatan. 

Setelah mendengar hujahan, Kamaliza menetapkan jaminan sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 September ini. 

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan tersebut dan dibebaskan.

Difahamkan, lima suspek ditangkap pada 14 Ogos lalu bagi membantu siasatan kes tersebut, namun hanya seorang dituduh dan empat lagi menjadi saksi polis. 

Pada 4 Ogos lepas, akhbar ini melaporkan tindakan nekad seorang lelaki memecah masuk sebuah pasar raya di sini dengan menggunakan sebuah forklift sebelum mencuri pelbagai jenis telefon bimbit dianggarkan bernilai RM13,680 di dua kiosk di dalam bangunan tersebut.

Kejadian tersebut disedari pengawal keselamatan ketika membuat rondaan di pasar raya itu kira-kira pukul 9.15 pagi. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya