Rasuah projek jalan, sekolah tahfiz: Lima termasuk tiga kakitangan JKR Hulu Selangor direman - Utusan Malaysia

Rasuah projek jalan, sekolah tahfiz: Lima termasuk tiga kakitangan JKR Hulu Selangor direman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan empat individu termasuk seorang jurutera ditahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah berjumlah RM130,000 bagi projek jalan dan sekolah tahfiz pada 2019.

Mahkamah turut membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menahan reman seorang penolong jurutera selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah berjumlah lebih RM8,000 sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan yang sama.

Tiga kakitangan kerajaan itu berkhidmat di Jabatan Kerja Raya Hulu Selangor manakala dua lagi suspek merupakan pengurus syarikat.

Perintah reman dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Ahmad Faisal Azmi selepas membenarkan permohonan dikemukakan secara berasingan oleh SPRM.

Terdahulu, kesemua suspek yang memakai pakaian lokap berwarna jingga SPRM tiba secara berasingan menaiki tiga buah kenderaan.

Kesemua suspek berusia antara 37 hingga 45 tahun itu ditahan antara pukul 1.30 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor.

Menurut sumber, sekitar 2019 hingga tahun lalu, suspek jurutera dan seorang penolong jurutera dipercayai meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM120,000 daripada kontraktor terbabit.

Katanya, tindakan itu dipercayai bagi mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan raya dan pembinaan sekolah tahfiz di daerah tersebut.

Difahamkan, kontraktor terbabit tidak layak untuk memperoleh projek tersebut namun telah menggunakan nama syarikat-syarikat lain bagi membolehkan mereka mendapat projek itu.

Menurut sumber, seorang lagi penolong jurutera yang bertugas di tempat yang sama pula dipercayai telah meminta dan menerima rasuah berjumlah lebih RM8,000 daripada sebuah syarikat kontraktor sebagai balasan memperakukan kerja-kerja siap bagi penyelenggaraan dan pembaikan kecil ruang pejabat di jabatan tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya