SEREMBAN: Kira-kira 30 usahawan wanita yang berdaftar dengan Pertubuhan Usahawan Wanita Negeri Sembilan (Unita NS) terpaksa menutup operasi perniagaan mereka ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Presiden Unita NS, Datin Fadilah Shamsudin berkata, kebanyakan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) tersebut terlibat dalam perniagaan seperti katering, makanan dan fesyen.
“Ramai antara ahli kami yang sangat terkesan, mereka terpaksa menutup perniagaan masing-masing ekoran PKP. Kebanyakan daripada mereka yang menjual produk makanan di pasar-pasar tani serta yang mempunyai butik fesyen seperti tudung dan pakaian.
“Bagaimana mereka boleh bertahan jika tidak dapat berniaga sehingga dua tiga bulan, tiada sumber pendapatan. Mereka memang buntu dan kami hanya boleh membantu bagi mengurangkan beban yang dihadapi mereka,” katanya pada Program Penyerahan Bakul Makanan daripada pihak Hospital Pakar CMH di Taman Marida, Senawang, dekat sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar CMH, Henderic Koo Teck Leng dan Person In Charge Hospital Pakar CMH, Dr. Maidin Sarman.
Menurut Fadilah, pihaknya lega apabila kerajaan memberi kelonggaran kepada banyak aktiviti perniagaan untuk kembali beroperasi dalam Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Banyak yang boleh kembali berniaga seperti kedai pakaian dan pasar tani cuma yang masih terjejas adalah perniagaan katering. Ramai ahli kami kini terpaksa menjual peralatan perniagaan mereka selepas tidak lagi punya pendapatan,” katanya.
Sementara itu, menurut Teck Leng, pihaknya menyediakan kira-kira 100 bakul makanan yang sebahagian hasil sumbangan para kakitangan hospital bagi membantu individu terjejas akibat penularan Covid-19 ketika ini.
“Kita tahu dalam situasi pandemik Covid-19 ini ramai yang mengalami kesusahan, jadi kami cuba membantu apa yang boleh. Sumbangan ini juga hasil jualan alat penyarigan kesihatan yang sebahagiannya kami salurkan ke dalam program ini.
“Hari ini kami bekerjasama dengan pihak Unita NS yang kami harap dapat membantu meringankan beban ahli-ahli mereka yang terjejas selain beberapa penduduk yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN ONLINE