KUALA LUMPUR: Enam Raja-Raja Melayu selesai mengadakan mesyuarat selepas bersidang selama dua jam bagi membincangkan isu pelantikan Perdana Menteri baharu, di Istana Negara hari ini.
Mesyuarat berkenaan berakhir kira-kira pukul 4 petang dan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, dilihat berangkat pulang pada pukul 4.10 petang diiringi beberapa pegawai polis.
Keberangkatan pulang Raja-Raja Melayu lain disusuli Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Al-Haj; Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir; Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Difahamkan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai; Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menghadiri mesyuarat berkenaan secara dalam talian.
Hal itu selepas sultan dari tiga negeri berkenaan tidak kelihatan sejurus selepas ketibaan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan di pintu utama Istana Negara, tadi.
Setakat ini, tiada maklumat lanjut berhubung hasil yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut dan difahamkan, Istana Negara akan mengeluarkan kenyataan rasmi pada bila-bila masa.
Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu hari ini dilihat sebagai proses akhir sebelum Seri Paduka menentukan pemimpin politik yang benar-benar layak dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.
Dilaporkan, Seri Paduka dijangka mendedahkan calon berkenaan daripada pelbagai parti politik selepas proses undian semua ahli Parlimen sebelum ini dilakukan dengan menyerahkan surat akuan kepada Istana Negara mengenai calon ketua kerajaan yang disokong mereka.
Semalam, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ahli Parlimen dari parti-parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan menyokong Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, untuk dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Untuk rekod, Ismail Sabri didakwa mendapat sokongan majoriti seramai 114 ahli Parlimen berbanding Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat 105 sokongan wakil rakyat.
Muhyiddin dan seluruh Kabinet baru-baru ini telah menyembah maklum surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka selepas 15 ahli Parlimen UMNO menarik semula sokongan mereka. – UTUSAN ONLINE