Raja kuasa pengimbang - Utusan Malaysia

Raja kuasa pengimbang

KUALA LUMPUR, 30 Julai -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengucup Keris Panjang Diraja yang juga dikenali sebagai Keris Kerajaan sebagai simbolik tanda kebesaran dan kekuasaan baginda pada istiadat pertabalan Seri Paduka Baginda di Istana Negara hari ini.?Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.?--fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA NOTA TERBITAN UTUSAN 31 JULAI 2019 RABU MUKA 2 ARCHIVED BY MHM 310719U
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESUNGGUHNYA selewat tahun 1931 apabila Braddell menceritakan kedudukan Negeri-Negeri Melayu di sisi undang-undang, titah atau arahan dari seorang Sultan Melayu masih dianggap undang-undang.

Kedudukan Raja yang istimewa dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perlembagaan Merdeka dan Perlembagaan 1963 adalah terpelihara.
Rakyat Malaysia yang bertradisi dan berteraskan budaya bangsa akan sentiasa menghormati institusi Raja.

Meskipun sebahagian dari­pa­da takrif dan amalan ke­daulatan Raja Melayu itu sudah diubahsuai pada tahun 1993 dan 1994 melalui pindaan Perlembagaan Perse­kutuan, kedaulatan dan institusi Raja terus terpelihara dan hidup subur.

Kalangan pakar perlembagaan jelas menyatakan institusi Majlis Raja-Raja itu sebenar­nya adalah institusi ‘peng­im­bang’ kepada sistem peme­rintahan secara Perse­kutuan.

Misalnya, jika apa-apa perubahan hendak dilakukan kepada perkara-perkara berkaitan hal-ehwal di-Raja termasuk kedaulatan, kedudukan dan keistimewaan mereka, atau Per. 152 (bahasa Kebangsaan), 153 (hak-hak keistimewaan orang Melayu), 160 (adat dan keMelayuan), Majlis Raja-Raja berhak dan hendaklah terlebih dahulu dirundingi.

Hakikatnya Raja-raja telah menggunakan kuasa-kuasa Perlembagaan dan juga politik di peringkat-peringkat Persekutuan dan negeri serta telah menikmati pengaruh yang luas ke atas banyak aspek kerajaan.

KUASA UTAMA PARLIMEN

Dalam aspek ini, Yang di-Pertuan Agong mempunyai banyak tanggungjawab ulung di sisi Perlembagaan Persekutuan (melalui nasihat). Baginda adalah Ketua Utama Negara Malaysia; pemegang kuasa utama Parlimen; Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Persekutuan; berkuasa mengampun, menangguhkan dan remit mana-mana hukuman di kawasan Wilayah Persekutuan dan di Negerinya sendiri; melantik para hakim mahkamah keadilan; kuasa penentu Per 153 (keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputera Sabah Sarawak); melantik pelbagai pegawai dan ketua jabatan di bawah Perkhidmatan Awam dan Diplomatik.

Baginda Tuanku berhak sama ada bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Parlimen pada masa-masa tertentu. Kuasanya menentukan siapa boleh menjadi Perdana Menteri memang wujud, tetapi belum pernah berlaku di mana syor ketua parti majoriti di Parlimen diketepikan pelantikannya sebagai Perdana Menteri. Baginda juga pihak berkuasa mengisytihar darurat atau menamatkannya (Per 150).

Seperti yang dapat dilihat, banyak kerja dalaman Kabinet telah mengubahkan kedudukan Raja-raja Melayu. Dengan majoriti yang besar, Parlimen di dalam tangan sebuah parti, seperti yang ditunjukkan dalam krisis Perlembagaan 1993-94, eksekutif menjadi sangat kuat dan sememangnya boleh membuat dan mewujudkan hasil-hasil yang banyak.

Sementara itu, terutama dengan kemunculan peng­libatan pendapat-pendapat yang bebas dalam dunia siber, beberapa ahli kerabat Diraja telah menjadi subjek-subjek cemuhan, tidak dihormati, malahan hasutan.

Ia seolah-olahnya tidak ada penguatkuasaan yang mencukupi di bawah undang-undang dalam bidang ini. Gaya hidup dan nilai-nilai berubah dari semasa ke semasa sehingga boleh dijangkakan bahawa kerabat diraja satu hari nanti akan tertakluk kepada ‘keadaan bahaya pada kerabat Diraja’ dari beberapa segmen masyarakat Malaysia.

NAFSU

Sebagai perbandingan, Putera Charles dan pasa­ngannya di England juga menerima padah yang sama daripada orang ramai. Di Malaysia, terutama di Ipoh suatu ketika, kerabat Diraja telah mengalami beberapa insiden yang nyata tidak menghormati kerabat Diraja oleh individu-individu yang bermotifkan politik.

Insiden-insiden ini mungkin tidak diberi perhatian sangat oleh orang ramai tetapi tanda-tanda kesukaran malangnya telah bermula dan akan berterusan.

Dari susunan bahasa Artikel 43, Kabinet dilantik dengan tujuan menasihati Yang di-Pertuan Agong menjalankan tugas-tugasnya mentadbir negara ini selepas mendapat mandat rakyat dalam pilihan raya umum.

Bagi apa jua maksud dan tujuan, perkataan “untuk menasihati beliau dalam menjalankan tugas-tugasnya” dalam erti kata sebenarnya bahawa Kabinet mestilah mentadbir negara di atas nama Yang di-Pertuan Agong dengan sewajarnya. Ia juga boleh bermaksud pentadbiran atau hal ehwal mentadbir mesti berdiri di atas prinsip amanah kerana semua perkara eksekutif dilakukan bagi pihak Raja.

Perkara ini diperkuatkan dalam Artikel 39 Perlembagaan yang dengan jelas menyatakan “kuasa pemerintah bagi Persekutuan adalah terletak pada Yang di-Pertuan Agong…dan boleh dilaksanakan oleh beliau atau oleh Kabinet atau oleh mana-mana para menteri yang diberi kuasa oleh Kabinet…”

Setiap yang bernama Melayu terutama para pemim­pin politiknya, jangan biarkan nafsu menu­lar bangsa sendiri. Jangan biarkan keganasan majoritisme mengotak katikkan kedaulatan bangsa sendiri.

DYMM Raja-raja tidak mampu untuk berpeluk tubuh dan berdiam diri dalam soal melibatkan kepentingan rakyat jelata. Kedaulatan yang ada pada Tuanku itu adalah kedaulatan bangsa Melayu.

Rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, wajib menjelmakan prinsip Rukunegara kedua – setia kepada Raja dan negara. Simbolisme dan isi ‘setia kepada Raja’ bererti setia kepada negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya