KEBETULAN, sekitar minggu lalu, berlakunya rombakan di beberapa stesen radio swasta yang menyaksikan beberapa wajah lama kembali mengambil alih tugas sebagai penyampai radio.
Tentunya ia dilihat sebagai satu tindakan yang positif kerana ada sesetengah pihak sebelum ini seringkali melontarkan rungutan dan komen yang menyentuh beberapa hal mengenai radio.
Antaranya pemilihan penyampai yang didakwa tiada kualiti, asal boleh, tidak sesuai, tidak menjaga imej profesional, terlibat dengan kontroversi sehinggalah menyentuh mengenai keghairahan penggunaan bahasa pasar dan bahasa rojak.
Berpeluang menemu bual tiga personaliti radio yang tidak asing lagi dalam negara, Halim Othman, Kudsia Kahar dan Linda Onn berkongsi pendapat mengenai beberapa isu yang selalu dipersoalkan.
Apa pandangan anda mengenai industri penyiaran radio pada era kini?
Kudsia – Bagi saya, kita boleh lihat industri radio swasta dah banyak berubah kalau dibandingkan dengan tahun pertama stesen radio Era dilancarkan pada 1 Ogos 1998 dulu. Selepas Era, banyak juga radio swasta berbahasa Melayu lain dilancarkan dan ia bukti bahawa radio swasta dalam bahasa kebangsaan boleh berjaya sebagai satu perniagaan sehingga sekarang.
Pelawak bergelar penyampai radio. Bagaimana anda melihat situasi ini?
Kudsia – Ia bergantung dengan kehendak pendengar kerana mungkin pada waktu sekarang, terlalu banyak berita negatif di keliling kita. Orang perlu lawak jenaka di waktu pagi berbanding topik berat. Sama seperti isu beberapa penyampai radio dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang dikatakan terpalit dengan kontroversi. Sebenarnya, cakaplah saya ini kolot, tetapi pada saya, itu adalah tanggungjawab pengurus stesen radio itu dalam memastikan penyampai diberikan latihan. Bukan untuk ke udara saja, tetapi latihan dalam menangani kemahsyuran dan populariti. Adakala, seseorang itu bagai kena ‘kejutan budaya’ dan pengurus perlu memainkan peranan jika prihatin pada prestasi para penyampainya.
Pendengar sekarang sudah hilang minat pada radio?
Halim – Saya dengar radio dari tahun 70-an. Tetapi sekarang, saya rasa radio tidak ada tarikan dan aura. Ia bukan lagi sesuatu yang saya teruja untuk ikuti macam dulu-dulu. Radio masih digunakan tapi seakan tidak ada magisnya.
Linda – Ramai kini lebih fokus kepada penggunaan telefon pintar kerana di dalamnya ada banyak aplikasi yang menarik. Daripada yang boleh mengenyangkan perut hinggalah hiburan, semua ada.Apa yang Halim maksudkan tadi bukan kerana iri hati, cuma zaman sekarang sudah berubah. Tetapi radio masih relevan, ada orang dengar. Cuma peralihannya mungkin kepada platform media sosial, begitu juga dengan televisyen. Tetapi, kalau diberi peluang kembali ke radio kami memang mahu.
Memandangkan anda bertiga ada pengalaman luas dalam bidang ini, mengapa tidak cuba frekuensi radio sendiri?
Kudsia – Frekuensi radio dah penuh. Ramai juga yang bertahun-tahun beratur menunggu tapi frekuensi tiada lagi. Untuk radio, perbezaan frekuensi dari satu stesen ke satu stesen lain tak boleh terlalu rapat nanti bertindih antara siaran stesen. Kena pastikan jurang 300 megahertz dengan stesen lain. Peluang mungkin ada untuk stesen negeri atau daerah tapi sebab tak ada pengiklan yang nak melaburkan wang sebegitu besar. Radio bagi saya, akan terus wujud cuma dalam bentuk berbeza. Sekarang pun ada persaingan dari platform seperti Clubhouse dan Podcast misalnya. Lebih menarik, boleh wujudkan isi kandungan bersifat bebas. Kalau di radio biasanya kita ada garis panduan, tapi di platform seperti ini, tak perlu. Jadi, semua orang boleh jadi pereka isi kandungan.
Apa pula pandangan anda mengenai penggunaan bahasa pasar dan rojak dengan alasan mengikut peredaran zaman?
Kudsia – Kita faham radio swasta tak perlu jadi bak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan tidak pula berperanan sebagai radio pendidikan. Mungkin disebabkan itu kebanyakannya tidak perlu menggunakan bahasa formal atau baku.Tapi, kami bertiga, amat suka dengan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul kerana itu yang telah dipraktikkan semasa menjadi penyampai sebelum ini. Kami tidak menggunakan bahasa pasar, kasar atau rojak. Saya, Linda dan Halim, sebagai bekas penyampai, kami memegang tanggungjawab untuk meluaskan penggunaan bahasa kebangsaan dan bagi kami, ia mustahak.
Linda – Ada beberapa perkataan yang kami haramkan sebut ketika ke udara, contohnya macam kau, aku, kita orang, dia orang, gua, lu. Kami telah dilatih untuk menggunakan bahasa kebangsaan yang betul semi formal kerana pendengar terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Halim – Bukankah penggunaan bahasa cantik, tersusun dan tidak selekeh itu menunjukkan bahawa kita sedang mempersembahkan sebuah hadiah yang cantik untuk para pendengar? Kalau awak dengar perkataan itu cantik, ibaratnya ia satu hadiah dan muzik untuk yang mendengar. Umpama satu sedekah.
Kongsikan sedikit usaha anda bertiga mengadakan program bual bicara berjudul Tiga Talk dan kini beralih pula ke platform media sosial.
Halim – Kami bertiga merupakan hos program tersebut yang bersiaran secara live di Facebook setiap Jumaat pada pukul 9.30 malam hingga 11 malam. Selain itu, kami juga menampilkan tetamu-tetamu jemputan setiap minggu.
Kudsia – Sebelum ini kami sangat aktif di Clubhouse setiap khamis pada pukul 9.30 malam.Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami adakan sesi Lepas Geram menerusi pelbagai topik berbeza. Sasaran kami adalah ia dijadikan sebagai satu tempat selamat untuk sesiapa sahaja melepaskan geram dan berkongsi cerita, masalah dan sebagainya. Kami sudah ada kelompok pendengar tersendiri dan bukan cuma di Asia Tenggara, tetapi juga pendengar dari Amerika Syarikat (AS), Mesir, Australia, Sweden dan Itali.Boleh dikatakan, menerusi platform ini, kami dapat melepas rindu untuk berinteraksi dengan pendengar sebagai penyampai radio selain mengubati juga kerinduan peminat yang ingin mendengar kami berceloteh lagi.