Pusat tahfiz ternak ikan dalam tangki PVC, demi kelangsungan hidup - Utusan Malaysia

Pusat tahfiz ternak ikan dalam tangki PVC, demi kelangsungan hidup

SUHAILI Sahari (kanan) dan Mudir Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Falah, Azhar Shaharuddin menunjukkan ternakan ikan tilapia dan tumbuhan akuatik, Azolla yang dibiak dalam tangki PVC di Rantau, Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Menyedari keperluan untuk tidak terlalu bergantung kepada yuran bulanan pelajar, Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Falah yang terletak di Rantau, dekat sini mengambil inisiatif menjalankan penternakan ikan air tawar bagi mengurangkan kos operasinya.

Pengerusinya, Dr. Suhaili Sahari berkata, projek ternakan ikan menggunakan tangki air polivinil klorida (PVC) dimulakan pihaknya sejak dua tahun lalu yang kini dilihat dapat mengurangkan kos dari segi penyediaan makanan untuk pelajar dan tenaga pengajar di pusat tahfiz berkenaan.

Katanya, terdapat kira-kira 50,000 ekor ikan jenis keli dan tilapia yang ditempatkan di dalam 10 tangki air PVC.

“Alhamdulillah, sedikit sebanyak projek ini dapat mengurangkan kos operasi kami terutama untuk perbelanjaan makanan pelajar yang tinggal di dalam asrama.

“Selain menggunakan modal sendiri, projek ini juga mendapat banyak bantuan daripada pelbagai pihak seperti Jabatan Perikanan yang menyumbangkan anak-anak ikan dan pihak lain yang membantu memberikan tangki PVC ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Sementara itu, Suhaili berkata, pihaknya menjalankan inisiatif membiakkan tumbuhan akuatik Azolla sebagai sumber makanan ikan yang diternak selain kini mencuba projek akuaponik iaitu gabungan kaedah menternak hidupan akuatik dan bercucuk tanam.

“Alhamdulillah, semua projek itu kini berjalan lancar. Selain dapat mengurangkan kos operasi, kami juga memperoleh sumber makanan yang sihat.

“Menjadi hasrat kami, hasil-hasil ternakan ini menjadi sumber pendapatan pula kepada kami kelak apabila dijual kepada orang lain. Terus terang, jika bergantung sepenuhnya dengan yuran pelajar memang sukar, jadi kami mengambil langkah supaya kelangsungan pusat tahfiz ini dapat berterusan,” katanya.

Beliau berharap projek ternakan ikan air tawar tersebut juga dapat menjadi model dan contoh serta diikuti oleh madrasah dan pusat tahfiz yang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya