SHAH ALAM: Punca sebenar pencemaran yang menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir belum dikenal pasti setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima aduan mengenai henti tugas itu pada pukul 11.20 pagi tadi.
Katanya, siasatan awal pensampelan bau dijalankan di kawasan Jambatan 1.5 Intake Jenderam Hulu dan Intake Sungai Semenyih mendapati tiada sebarang bau dikesan (0 Ton).
“Siasatan pensampelan di Sungai Semenyih dan Sungai Rinching juga didapati tiada sebarang bau.
“Sehingga pukul 2.30 petang tadi, kita masih belum mengenal pasti punca pencemaran berkenaan,” katanya menerusi Facebook (FB) rasmi beliau hari ini.
Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku ekoran LRA Sungai Semenyih berkenaan terpaksa dihenti tugas pukul 12 tengah hari tadi.
Henti tugas itu dilakukan selepas pencemaran bau air seakan-akan bahan tercemar dikesan di LRA tersebut.
Air Selangor sedang bekerjasama dengan LUAS bagi mengenal pasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai di sekitar Sungai Semenyih.
Para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air tidak berjadual itu menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor.
Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden itu dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa.
Para pengguna turut boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.
Pertanyaan dan aduan juga boleh diajukan di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor.