GEORGETOWN: Pulau Pinang boleh mencapai sasaran sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa melengkapkan dua dos vaksin pada akhir bulan depan atau awal Oktober ini sekiranya tidak berdepan gangguan bekalan vaksin daripada Kerajaan Pusat.
Sehubungan itu, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara tersebut perlu menjadi tanggungjawab pertama Menteri Kesihatan baharu, Khairy Jamaluddin iaitu memastikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjaya dilaksanakan secepatnya.
Kata beliau, bekalan vaksinasi yang mencukupi itu juga penting dalam usaha kerajaan negeri memastikan kes-kes serius jangkitan Covid-19 yang memerlukan rawatan di hospital atau di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dapat dikurangkan.
“Ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan kepada perubatan awam dalam merawat pesakit-pesakit Covid-19 yang meningkat di Pulau Pinang ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Dalam pada itu Kon Yeow berkata, Kementerian Kesihatan wajar mempertimbang menghantar pakar-pakar perubatan dari negeri yang kurang berdepan kes Covid-19 untuk membantu tugas perawatan di negeri-negeri yang menyaksikan peningkatan kes mendadak.
Jelasnya, Pulau Pinang mungkin tidak berhadapan masalah mendapatkan kelengkapan perubatan seperti katil unit rawatan rapi (ICU) kerana banyak pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor korporat bersedia memberi sumbangan.
“Tetapi kita mungkin berdepan kekangan dari segi tenaga pakar yang dapat mengendali dan menguruskan rawatan bagi kes-kes serius Covid-19 ini dan keperluan ini bukan hanya untuk Pulau Pinang tetapi juga negeri-negeri utara lain yang berdepan peningkatan kes mendadak,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berharap Kementerian Kesihatan dapat mengarahkan supaya hospital-hospital swasta dapat meningkatkan kapasiti pesakit Covid-19 untuk dirawat di hospital masing-masing.
“Ketika ini hospital swasta menerima kira-kira 30 peratus pesakit Covid-19 dan sekiranya jumlah ini dapat ditingkatkan secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan yang perlu dihadapi oleh hospital awam dalam merawat pesakit itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE