Program ladang kontrak atasi lambakan hasil pertanian - Utusan Malaysia

Program ladang kontrak atasi lambakan hasil pertanian

CHE Abdullah Mat Nawi turun padang membantu menyelesaikan masalah lambakan timun petani di Kampung Pulai, Chicha Tinggi, Pasir Mas, Kelantan hari ini. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Program ladang kontrak mampu menyelesaikan masalah lambakan hasil pertanian yang gagal dipasarkan sekali gus mengakibatkan pemain agro makanan di negara ini menanggung kerugian besar.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, melalui program itu, Lembaga Pertanian Pemasaran Persekutuan (FAMA) selaku pengendali menyediakan harga lantai untuk membeli segala hasil pertanian peserta.

“Nasihat saya kepada pemain agro makanan supaya menjalinkan kerjasama dengan agensi di bawah kementerian sejak di peringkat awal lagi berkaitan dengan apa yang hendak mereka usahakan.

“Hal ini bagi memastikan isu lambakan hasil tidak berlaku kerana kita akan berusaha bantu mereka pasarkan hasil pertanian masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas meninjau kebun timun diusahakan dua beradik di Kampung Pulai, Chicha Tinggi di sini hari ini.

Hadir sama Penasihat Kompleks Pemasaran Fama, Mohd. Arifin Awang dan Pengarah Fama, Kelantan Wan Nora Wan Ahmad.

Utusan Malaysia pada 29 Julai lalu melaporkan dua beradik mengalami kerugian RM2,000 sehari susulan gagal memasarkan timun yang diusahakannya akibat pandemik Covid-19.

Nik Azrin Nik Yaakub, 29, yang mengusahakan tanaman tersebut bersama abangnya, Nik Azani, 46, kecewa melihat timbunan 1.5 tan timun yang dituai di kebun mereka setiap hari, tersadai tanpa pembeli.

Mengulas lanjut, Che Abdullah memberitahu, dalam tempoh 25 Mei hingga 29 Julai lalu, FAMA telah membeli 11,000 metrik tan hasil pertanian bagi membantu pemain agro makanan memasarkan produk mereka.

Katanya, nilai belian hasil pertanian sepanjang tempoh itu membabitkan perbelanjaan berjumlah RM38.22 juta.

“Untuk Kelantan sahaja FAMA belanja RM2.4 juta untuk membeli 2,500 metrik tan hasil tanaman. Selain dipasarkan ke lokasi dikenal pasti, sebahagiannya dijadikan produk sumbangan program kebajikan Mafi Prihatin,” katanya.

Sementara itu, Nik Azrin Nik Yaakub berterima kasih kepada pihak Kementerian Pertanian dan Industri Makanan kerana membantu menyelesaikan masalah lambakan hasil timun di kebun mereka.

“Keprihatinan pihak kerajaan membantu memasarkan hasil tanaman kami meredakan sedikit tekanan, sekali gus untuk dijadikan modal sebelum memulakan musim baharu nanti,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya