Positif Covid-19, pendakwaan Shamsubahrin ditangguh - Utusan Malaysia

Positif Covid-19, pendakwaan Shamsubahrin ditangguh

SHAMSUBAHRIN ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menangguhkan pendakwaan terhadap Pengasas Big Blue Taxi Services, Datuk Shamsubahrin Ismail atas pertuduhan rasuah setelah ahli perniagaan itu tidak hadir hari ini kerana disahkan positif Covid-19.

Hakim Rozina Ayob menetapkan 27 Ogos ini bagi sebutan untuk mengetahui perkembangan kes itu dan status kesihatan Shamsubahrin.

Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pendakwaan terhadapnya, namun lelaki itu tidak hadir dan pertuduhan tidak dibacakan.

Sebelum itu, peguam Muhammad Noor Azfar Muhammad Noor Azmi memaklumkan anak guamnya tidak sihat semalam dan membuat pemeriksaan di sebuah pusat perubatan swasta sebelum disahkan positif Covid-19.

Bagaimanapun jelasnya, Shamsubahrin yang juga merupakan pesakit kanser diperintah menjalani kuarantin kendiri di rumah kerana kemudahan katil di situ tiada kekosongan.

Sementara itu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abd. Muntaqim Abdul Aziz memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap permohonan penangguhan oleh pihak pembelaan.

Media melaporkan, pemilik syarikat teksi bergelar Datuk itu akan didakwa atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada seorang individu kononnya bagi membantu menyelesaikan kes rasuah yang sedang didengar di Mahkamah Rayuan.

Sumber SPRM menyatakan, lelaki berusia 50-an itu akan didakwa kerana meminta rasuah berjumlah RM95,000 daripada individu tersebut.

Menurut sumber, lelaki itu dikatakan meminta wang itu kononnya untuk dibayar kepada Timbalan Pendakwa Raya dan pegawai di Pejabat Peguam Negara yang menjalankan kes berkenaan.

Sumber turut menyatakan, lelaki tersebut dipercayai sudah menerima RM10,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya dan meminta lagi RM35,000 secara tunai.

Difahamkan, suspek juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya