IPOH: Polis menubuhkan pasukan siasatan khas bagi menyiasat dakwaan tular di media sosial mengenai kegiatan gengster dikenali Geng Thilai 04 di daerah ini.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kegiatan kumpulan yang didakwa aktif sekitar Buntong itu didedahkan seorang individu di laman Facebook dan tular sejak semalam.
“Pihak polis memandang serius aduan yang diutarakan oleh individu ini. Bagi mengesahkan kesahihan maklumat, satu pasukan siasatan khas ditubuhkan bagi menyiasat kesemua maklumat yang diberikan pengadu,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut Yahaya, pihaknya berterima kasih dengan maklumat yang disalurkan namun menasihatkan orang awam agar tidak mendedahkan identiti peribadi dan membuat aduan sulit melalui kaedah tular dalam media sosial demi keselamatan.
Katanya, aduan atau maklumat sewajarnya dihantar melalui Pusat Kawalan Daerah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2542222 atau ketua polis daerah Ipoh menerusi e-mel [email protected].
“Maklumat kegiatan jenayah juga boleh disalurkan ke ketua bahagian siasatan jenayah melalui e-mel [email protected].
“Melalui saluran tersebut, identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya.