Polis buru pemandu kereta larikan diri, sebabkan kemalangan maut - Utusan Malaysia

Polis buru pemandu kereta larikan diri, sebabkan kemalangan maut

NOR OMAR SAPPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Polis menahan penumpang depan kereta Proton Preve yang terlibat dalam kemalangan mengakibatkan tiga maut dan tujuh cedera di Sitiawan petang semalam manakala pemandu kereta itu masih belum dapat dikesan selepas melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, penumpang lelaki berusia 24 tahun itu ditahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis syabu.

“Lelaki yang mengalami kecederaan pada kepala, tangan serta kaki itu direman sehingga Selasa ini, manakala seorang lagi penumpang belakang, guru tadika perempuan berusia 24 tahun cedera di muka, kepala, tangan dan kaki.

“Kedua-dua mereka sudah dibenarkan keluar dari Hospital Seri Manjung (HSM) sementara pemandu kereta lelaki berusia 38 tahun pula melarikan diri dari tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.

Dalam kemalangan di Kilometer 4 Jalan Sitiawan – Kampung Acheh itu, tiga maut di tempat kejadian iaitu Mohd. Nur Hisham Hassan, 29; penunggang motosikal, Mohd. Suhail Zainal, 22, dan pemboncengnya, Hasrandy Bahrum, 27.

Menurut Nor Omar, siasatan awal mendapati Proton Preve dinaiki tiga orang dari Lekir menghala ke Kampung Acheh terbabas ke laluan bertentangan sebelum merempuh enam motosikal ditunggang dan dibonceng pekerja kilang Sapura Energy dari arah Kampung Acheh menuju ke Sitiawan.

Jelasnya, tiga daripada mangsa yang menaiki motosikal maut di tempat kejadian, tiga orang lagi dirawat di HSM, seorang dirawat di Hospital Pantai Manjung manakala seorang lagi yang cedera dibenarkan keluar dari HSM.

Menurutnya, kemalangan kira-kira pukul 5.30 petang itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika ada sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini dan suspek, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspktor Lily Suryana Roslaili di talian 013-6559693 bagi membantu siasatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya