IPOH: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Perak dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sekotak berisi pelbagai jenis pokok keladi dari Belanda di Pejabat Pos Besar Ipoh, hari ini.
MAQIS Perak dalam kenyataannya memaklumkan, hasil pemeriksaan pegawai penguat kuasa jabatan itu mendapati pokok keladi yang dibawa masuk itu tidak mempunyai permit import sah.
“Produk itu juga tiada sijil fitosanitasi daripada negara asal. Oleh itu, kesemua pokok tersebut dirampas untuk tindakan lanjut,” kata kenyataan itu, di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, perbuatan mengimport tumbuh-tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikro organisme tanpa permit adalah merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum enam tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama. – UTUSAN ONLINE