KOTA BHARU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditunjangi parti-parti berteraskan orang Melayu dan Bumiputera serta diperkasakan dengan muafakat pelbagai kaum, tidak akan sekali-kali mengizinkan institusi raja-raja Melayu diderhakai atau diperalatkan oleh mana-mana pihak.
Dalam masa sama, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menegaskan, tidak timbul soal derhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembatalan Ordinan Darurat kerana proses itu sedang berjalan mengikut peraturan.
Jelas beliau, ketika mengumumkan perkara tersebut di Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan sekadar memaklumkan pendirian dan keputusan terkini Kabinet tanpa memperincikan proses itu sebenarnya masih menunggu perkenan Seri Paduka.
“Pada 21 Julai lalu, keputusan dibuat dalam mesyuarat mingguan Kabinet berhubung pembatalan Ordinan Darurat dan pada 22 Julai, Peguam Negara menyiapkan Draf Ordinan (pembatalan) sebelum pada 23 Julai, Perdana Menteri mengutus warkah kepada Seri Paduka.
“Seterusnya pada 24 Julai, Seri Paduka menitahkan Peguam Negara dan Menteri Undang-Undang menghadap. Pada 25 Julai pula, hari Ahad dan pada 26 Julai sidang Parlimen bermula. Di situ, Menteri Undang-Undang didesak pembangkang mengenai pendirian sebenar kerajaan lalu memaklumkan perkembangan terbaru.
“Apabila isu ini cuba dikelirukan, Perdana Menteri bersama Peguam Negara tanpa berlengah terus menghadap Seri Paduka dan menerangkan perkara sebenar pada 27 Julai, termasuk memohon maaf sekiranya menimbulkan kekeliruan. Jadi, di mana penderhakaannya?” soal beliau.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Vaksinasi ‘Oghe Parlimen Terre’ di Kompleks Yayasan Kemiskinan (YKK), Peringat di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, Al-Sultan Abdullah telah menjelaskan pandangan Seri Paduka kepada Perdana Menteri dan perkara tersebut seterusnya dibawa ke Kabinet pada Jumaat (29 Julai).
“Perlu diketahui, pada pagi Jumaat itu, Perdana Menteri sekali lagi menghadap Seri Paduka sebelum mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet. Proses pembatalan Ordinan Darurat sedang berjalan mengikut peraturan biasa, langsung tidak berbangkit soal derhaka dan jelas ia cuba dipolitikkan.
“Dan atas dasar inilah juga 40 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengikrarkan sokongan secara berterusan kepada Kerajaan PN ini,” katanya.