ALOR SETAR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu dipertahankan bagi memastikan usaha melawan pandemik Covid-19 yang dijalankan selama ini dapat terus berjalan lancar.
Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, sebarang usaha untuk menukar kerajaan sedia ada hanya mendatangkan risiko kerana perang berdepan pandemik Covid-19 ketika ini cukup kompleks.
“Kerajaan sedang buat kerja dengan baik ketika kita berdepan Covid-19. Menteri sedia ada sudah lebih setahun berdepan cabaran ini dengan mereka mempunyai pengetahuan mendalam mengenainya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar ketika melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Outreach Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok di sini hari ini.
Hadir sama Naib Canselor UUM, Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani serta Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo.
Muhammad Sanusi menambah, peningkatan kes sejak kebelakangan ini tidak boleh dijadikan kayu ukur kepada kemampuan kerajaan sedia ada kerana lonjakan sebegitu sememangnya berlaku di seluruh dunia.
“Kes melonjak ini bukan di Malaysia saja sebaliknya berlaku di seluruh dunia. China yang dulu dianggap bebas Covid-19 kini kembali bergelut sementara Amerika Syarikat pula kembali menutup sektor sosial mereka.
“Apabila ada yang pertikaikan keputusan kerajaan asyik berubah, perkara itu sebenarnya memang terpaksa dilakukan bergantung kepada situasi semasa,” katanya.