PUTRAJAYA: Kenderaan membawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin beredar meninggalkan Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 12 tengah hari tadi dipercayai dalam perjalanan ke Istana Negara untuk menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Beliau diiringi beberapa buah kenderaan lain termasuk pasukan pengiring polis.
Ketika dirakam jurukamera, Muhyiddin yang mengenakan songkok di kepala sempat menurunkan tingkap dan melambai ke arah pengamal media yang sedang menunggu berhampiran Pintu Protokol.
Terdahulu, beberapa barisan menteri Kabinet mula meninggalkan Kompleks Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 11.50 pagi selepas selesai menghadiri mesyuarat khas yang berlangsung lebih satu jam.
Antara yang kelihatan termasuk Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Turut kelihatan meninggalkan Perdana Putra ialah Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun. – UTUSAN ONLINE