SEMAKIN rancak nampaknya arena gig dalam talian. Dalam tempoh dua bulan ini sahaja, Rondivu sudah tampilkan tiga acara dalam talian. Ia termasuk yang akan saya tulis ini.
Pastilah ia berita yang baik dan menarik. Dengan segala krisis yang dihadapi kini, kita tak mahu ekosistem muzik independen lumpuh. Kita mahu penggerak-penggeraknya terus aktif dan bersemangat menghidupkan lapangan.
Bikin gig dalam talian ini bukanlah mudah. Banyak masa dilabur dan kreativiti diperah. Itu baru hal penganjuran, belum kira yang buat persembahan. Sangatlah berbeza persembahan secara fizikal dengan secara maya.
Oleh itu, penting untuk kita terus menyokong usaha penganjuran acara maya seperti ini. Kalau ada masa, tontonlah. Lagi seronok kalau dapat meriahkan ruangan komen dengan lawak-lawak yang dah lama diperam. Nak lepak mamak pun tak boleh, mana lagi nak diluah segala punchline itu?
Memilih kasih
Acara maya yang ingin saya kongsikan kali ini diberi nama Pilih Kaseh. Konsepnya mudah: 22 penyanyi dikumpul dan rakaman persembahan mereka ditayang di Youtube selama dua hari. Macam pernah dengar konsep sebegini, bukan?
Ya, konsep asasnya sama seperti gig maya Indie Dari Rumah yang dianjurkan Atas Angin bulan lalu. Tidak pelik sebab Pilih Kaseh juga anjuran Atas Angin, cuma kali ini mereka bekerjasama dengan LUAS.
Ada beza lain lagi. Jika Indie Dari Rumah lebih berfokus kepada kugiran, Pilih Kaseh menampilkan penyanyi solo sahaja.
Selain itu, Pilih Kaseh juga mengangkat kesetaraan gender, gittew. Daripada 22 penyanyi, 11 mereka adalah lelaki manakala 11 lagi perempuan. Macam pasukan bola sepak.
Yang baharu, yang lama
“Kami nak tunjukkan yang kita ada kualiti dan kuantiti yang setara antara dua gender ini, sebab itu ada 11 lelaki dan 11 perempuan,” kata Gob Ahmad dari LUAS sebagai penganjur bersama acara ini.
Persembahan daripada penyanyi lelaki akan bersiaran pada 28 Ogos di saluran Youtube Atas Angin manakala keesokannya, 11 penyanyi wanita pula akan beraksi pada waktu yang sama di Youtube LUAS
.
Bukan sahaja setara secara gender, saya juga lihat barisan penyanyi yang ditampilkan seimbang dari segi pengalaman. Tidak hanya bergantung pada artis ‘yang ada nama’, mereka juga tampilkan muka baharu.
Antara nama mapan yang ada ialah Imran Ajmain, Aidil (Couple), Viona (The Venopian Solitude) dan Leaism. Nama yang lebih segar pula seperti Sahaq (Motherwit), Aus, Dekwa dan Miza.
Ini yang saya suka pada gig yang menggabungkan banyak artis sebegini. Ia memberi ruang kepada artis untuk memperoleh pendengar baharu.
Solo bawa panji
“Kami lihat ada ramai artis solo jadi kami fikir perlu diketengahkan mereka ini. Ada juga vokalis kugiran yang mahu gerakkan kugiran tapi ada kekangan kerana pandemik. Jadi ini peluang untuk mereka terus promosikan lagu walaupun hanya tampil solo,” kata Gob.
Antara vokalis kugiran yang akan tampil dalam acara ini ialah Nawi Zharif dari Dewataraya, Acap (LOKO), Eidi (Teman Lelaki), Zed (Armpunk Sindicate), Kimal (Margasatwa), Nik (Sada Borneo), Elly (Langkasuka) dan Kasih (Senja).
Kata Gob, dia mahu ramai peminat muzik Malaysia menyaksikan acara ini kerana bakat yang ditampilkan sangat pelbagai dan berkualiti.
“Kami rancang nak buat musim kedua pula nanti dan meneruskan kolaborasi supaya Pilih Kaseh boleh menjadi platform untuk artis solo tunjukkan bakat. Harapnya acara ini menjadi sebab untuk semua artis solo terus bersemangat untuk berkarya.
“Kami nak tunjuk walaupun bergerak secara independen, kami masih boleh anjurkan acara yang menampilkan penyanyi dikenali seperti Imran Ajmain dan lain-lain,” katanya.
Selain LUAS dan Atas Angin sebagai penganjur, acara ini turut mendapat kerjasama daripada media independen seperti Malaya Roll, Junklist, Twt_Muzik, BawahTanahRasmi, Music Addicts Malaysia, Hashtag Media dan Yek Yek Je Radio. Dua jenama perniagaan tempatan, Istikoma Terror (pakaian) dan LaLoca (minuman) turut berkolaborasi untuk Pilih Kaseh.