SHAH ALAM: Satu sindiket menjadikan rumah bertingkat sebagai lokasi penyimpanan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai di Lembah Klang tumpas selepas diserbu pihak berkuasa, semalam.
Serbuan bermula pukul 12.45 tengah hari itu dilakukan Pasukan Gerakan Am (PGA) Cheras di dua lokasi berasingan di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya.
Selain penahanan tiga lelaki, sebanyak 631 kotak arak dirampas untuk tindakan lanjut.
Komander Briged Tengah PGA Cheras, Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim berkata, serbuan menerusi Op Contraband itu dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Cawangan Risik briged berkenaan.
“Kedua-dua serbuan dilakukan di rumah berasingan di Taman Universiti, Petaling Jaya dan SS14, Subang Jaya sehingga kira-kira pukul 4.15 petang.
“Kita menahan tiga lelaki masing-masing dua tempatan dan seorang warga asing berusia 28 hingga 58 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, selain arak tidak bercukai, penahanan suspek membawa kepada rampasan tiga kenderaan dan empat telefon yang disyaki digunakan bagi aktiviti penyeludupan.
“Serbuan pertama merampas 230 kotak pelbagai jenis arak diikuti 401 kotak lagi di lokasi berikutnya.
“Semua kotak itu mengandungi 11,827 tin dan botol arak serta melibatkan sebanyak 6,338.52 liter,” ujarnya.
Tambah Muhammad, keseluruhan rampasan tersebut dianggarkan bernilai RM972,729.
“Hasil serbuan itu membantu kita melumpuhkan satu sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai di sekitar Lembah Klang.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah kepada polis untuk tindakan lanjut. – UTUSAN ONLINE