Pesara komando lahir hari merdeka digelar Md Deka  - Utusan Malaysia

Pesara komando lahir hari merdeka digelar Md Deka 

MD. Deka lahir pada 31 Ogos 1957, merupakan seorang pesara komando ketika ditemui pada sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat daerah Perak Tengah di Parit. - UTUSAN/MOHAMAD HAFIZI MOHD SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Digelar dengan nama Md Deka kerana dilahirkan pada Hari Kemerdekaan tanah air 31 Ogos 1957 sudah cukup membanggakan seorang pesara komando kelahiran Kampung Telok Bakong, Lambor Kanan, Bota di sini.

Pegawai Waren II (B) Nor Muhammad Ahmad, 64, berkata, mungkin kerana dilahirkan pada hari kemerdekaan negara, dia mempunyai minat mendalam untuk berkhidmat sebagai seorang tentera sejak kecil lagi.

Menurut Md Deka, kerana beliau dilahirkan pada tarikh keramat itu juga dia dipanggil Md Deka oleh keluarga dan penduduk kampung di Teluk Bakong hinggakan tiada yang mengenali nama sebenarnya.

“Tarikh 31 Ogos 1957 serta nama Md Deka sangat istimewa bagi saya, malah semua orang yang kenal dengan saya, memanggil saya dengan nama Md Deka berbanding nama sebenar.

“Saya kemudiannya mengambil keputusan untuk berkhidmat sebagai tentera bagi menzahirkan semangat patriotik serta cintakan tanah air dan Alhamdulillah pada 21 Jun 1976 saya dipilih menyertai Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM),” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada sambutan Hari Kebangsaan 2021 peringkat daerah Perak Tengah yang disempurnakan oleh Pengerusi Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed di sini hari ini.

Berkongsi cerita mengenai pengalamannya selama 22 tahun di dalam TDM, Md Deka berkata, selepas setahun diterima sebagai anggota TDM beliau kemudiannya bertugas di bawah Pasukan Gerak Khas dan berpengalaman bertempur dengan tentera komunis di Thailand.

Menurut Md Deka, dia tidak pernah melupakan peristiwa pertempuran tersebut yang menyebabkan dua rakan sepasukannya hilang kaki selepas terpijak jerangkap samar.

“Saya pernah bertempur dengan komunis pada tahun 1979 di Sadao, Thailand, susulan kejadian sebuah kereta perisai tentera kita ditembak pihak komunis hingga menyebabkan semua anggota di dalam kenderaan berkenaan meninggal dunia.

“Kami yang berada di kem di Ipoh digerakkan pada malam kejadian ke Kroh dan seterusnya ke Sadao, Thailand di mana kami menemukan satu kem komunis di bawah rumpunan buluh yang baharu sahaja ditinggalkan,” katanya.

Bagaimanapun, Md Deka berkata, operasi yang dijalankan selama dua minggu itu tidak berjaya menemukan jejak komunis berkenaan dan mereka hanya bertembung dengan saki-baki anggota mereka yang ditinggalkan sebelum berlaku pertempuran.

“Kejadian itu menyebabkan dua orang pihak komunis maut manakala dua anggota kami cedera terpijak jerangkap samar yang dipasang komunis,” katanya.

Md Deka turut meluahkan harapan beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64 ini lebih bermakna apabila negara sentiasa aman dari segi kestabilan politik mahupun bebas dari ancaman Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya