Pesara kerajaan dituduh pecah amanah wang RM1.8 juta milik wat Siam - Utusan Malaysia

Pesara kerajaan dituduh pecah amanah wang RM1.8 juta milik wat Siam

SAN Yap Din Ei Yat dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang milik sebuah wat Siam di Kubang Pasu. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang pesara kerajaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah terhadap wang milik sebuah wat Siam di Kubang Pasu dekat sini berjumlah hampir RM1.8 juta pada lima tahun lalu.

Tertuduh, San Yap Din Ei Yat, 71, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga bekas Timbalan Pengerusi Wat Boonyaram, Padang Sera, Kodiang di Kubang Pasu dekat sini telah diamanahkan dengan penguasaan terhadap harta tertentu berjumlah RM1.77 juta.

Dia didakwa melakukan pecah amanah tersebut antara 7 Mac 2016 hingga 25 Oktober 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 10 tahun selain dikenakan sebatan dan denda.

Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin manakala tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 September depan.

Difahamkan tertuduh yang baru ditahan di Kota Damansara, Petaling Jaya kira-kira pukul 12 tengah hari semalam, tidak membayar jaminan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya