KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, pertemuan dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Rusila, Marang hanya untuk menziarahi Presiden Pas itu.
Muhyiddin berkata, kunjungan itu hanya pertemuan biasa kerana kedua-dua mereka sudah lama tidak berjumpa.
“Saya nak ziarah kerana beliau tidak berapa sihat tetapi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu Tuan Guru sudah bertambah baik.
“Kali terakhir kita berjumpa semasa di hospital dan mudah-mudahan beliau kembali sihat bagi bekerja untuk parti dan negara,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat pusat pemberian vaksin (PPV) di Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.
Terdahulu, wujud dakwaan pertemuan kedua-dua pemimpin itu susulan Mesyuarat Khas melibatkan kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya, semalam.
Mesyuarat dipengerusikan Muhyiddin itu dihadiri antaranya Presiden Gabungan Parti Sarawak (GPS) merangkap Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg; Setiausaha Agong PN merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausaha Agung Pas yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Utusan Malaysia hari ini melaporkan. kerajaan PN dijangka membuat pengumuman dalam masa terdekat membabitkan hala tujunya sekali gus memberi kesan kepada perkembangan politik tanah air. – UTUSAN ONLINE