Sikap Zurfahani Batrisya Zaidi Shamsul Bahri yang komited dan bersemangat mencerminkan keghairahannya dalam mengejar impian untuk menjadi salah seorang komposer dalam negara.
Dengan sikap, semangat dan bakat yang ada dalam diri gadis yang baru berusia 22 tahun itu, tidak mustahil dia akan berjaya menempatkan diri dalam industri seni tanah air ini.
Lebih menarik, anak kelahiran Selangor itu berpendapat, persepsi memperdengarkan muzik di Malaysia dari segi melahirkan genre baharu dan segar dalam pasaran perlu diubah.
“Saya kenal ramai penerbit dan komposer wanita di Malaysia yang mempunyai potensi untuk pergi jauh dalam bidang yang dikuasai oleh lelaki ini.
“Justeru, saya harap dengan kehadiran saya mampu mengubah persepsi masyarakat untuk tidak memandang rendah terhadap keupayaan wanita dalam industri ini,” katanya kepada Pancaindera.
Dibesarkan oleh keluarga yang aktif dalam bidang muzik, Zurfahani mula belajar bermain alat muzik seawal usia 11 tahun.
Setelah timbul minat yang mendalam, dia membuat keputusan untuk menceburi bidang muzik dan kini melanjutkan pelajarannya dalam bidang Music Composition di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Zurfahani memulakan langkahnya dengan bermain bersama pelbagai kumpulan muzik. Kini, dia ialah anggota kumpulan muzik Indie, The Lounette. Antara alat muzik yang dimainkannya adalah gitar, piano, keyboard dan seruling besi.
Pada tahun lalu pula, Zurfahani mendapat inspirasi untuk mula menggubah dan membuat lagu.
“Setakat ini saya mencipta kira-kira lima lagu untuk The Lounette. Kami juga mengeluarkan single These Nights pada awal tahun ini di semua platform digital.
“Untuk lagu terbaharu, saya berkolaborasi dengan Antonina Car yang berasal dari Poland untuk mengeluarkan single bertajuk Flautando. Ia telah dikeluarkan pada Rabu lalu,” kata anak kedua daripada tiga beradik itu.
Minatnya terhadap budaya dan Poland telah berjaya menghubungkannya dengan salah seorang bakat dari negara itu menerusi laman Instagramnya.
Dalam pada itu, kebanyakan lagu yang dicipta sendiri turut dikeluarkan di platform soundcloud di bawah nama zurfahani-batrisya.
Bercerita mengenai cabaran sepanjang menceburi bidang tersebut, Zurfahani tidak menafikan ramai yang memandang rendah terhadapnya kerana memilih bidang muzik.
“Bidang yang saya ceburi ini dianggap tiada masa depan. Ramai sering mempersoalkan sama ada saya mampu untuk pergi jauh dalam bidang ini.
“Namun, sokongan ibu bapa mendorong saya untuk meneruskan langkah ini. Lagi pun, kita tidak boleh puaskan hati semua orang,” katanya.