Perompak pecah masuk pasar raya guna forklift - Utusan Malaysia

Perompak pecah masuk pasar raya guna forklift

FORKLIFT yang dipercayai digunakan perompak bagi memecah masuk sebuah pasar raya sebelum melarikan pelbagai jenis telefon bimbit di dua kiosk di pasar raya berkenaan di Arau, Perlis hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Seorang lelaki bertindak nekad memecah masuk sebuah pasar raya di sini dengan menggunakan sebuah forklift sebelum mencuri pelbagai jenis telefon bimbit dianggarkan bernilai RM13,680 di dua kiosk di dalam bangunan itu hari ini.

Kejadian tersebut disedari pengawal keselamatan ketika membuat rondaan di Pasar Raya Cmart itu kira-kira pukul 9.15 pagi.

Pemerhatian pegawai keselamatan itu mendapati pintu masuk kaca di bahagian belakang pasar raya tersebut telah renggang dan terbuka akibat dilanggar dengan forklift.

Pegawai keselamatan tersebut yang turut melakukan pemeriksaan di keseluruhan kawasan pasar raya itu mendapati dua kiosk iaitu kedai menjual telefon bimbit berada dalam keadaan berselerakan sebelum bertindak membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintenden Nanda Maarof memberitahu, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis tersebut mendapati suspek yang memakai baju sejuk berwarna kelabu itu mengemudi sebuah forklift seterusnya melanggar pintu masuk kaca bahagian belakang bangunan sehingga terbuka.

Katanya, penjenayah tersebut kemudian menggeledah kiosk menjual telefon bimbit tersebut dan mencuri 25 buah telefon bimbit dengan anggaran nilai RM10,385.

“Selepas itu, suspek naik ke tingkat satu pasar raya tersebut dan menuju ke sebuah lagi kedai menjual telefon bimbit dan mencuri lima buah telefon bimbit pelanggan yang rosak, wang syiling kira-kira RM200 dan wang kertas kira RM400 dengan keseluruhan nilai kerugian kira-kira RM3,295.

“Suspek kemudian beredar dari kawasan tersebut kira-kira pukul 4.22 pagi menggunakan laluan yang sama. Hasil siasatan di lokasi jenayah itu telah mendapati 16 cap jari dan 10 sampel asid deoksiribonukleik (DNA). Kawasan kejadian dilengkapi dengan CCTV yang berjaya merakam perbuatan suspek,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Nanda percaya suspek akan diberkas dalam tempoh terdekat berdasarkan bukti yang diperoleh pihaknya.

“Polis tidak menolak kemungkinan perbuatan itu membabitkan orang dalam yang bertugas di premis bangunan berkenaan,” katanya.

Tambahnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya