Permohonan Syed Saddiq pindah kes didengar 25 November - Utusan Malaysia

Permohonan Syed Saddiq pindah kes didengar 25 November

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman agar kes-kes pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram yang dihadapinya dibicarakan di Mahkamah Tinggi, akan didengar pada 25 November ini.

Permohonan tersebut yang melibatkan kes-kes di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan di Johor Bahru (yang sudah dipindahkan ke sini) akan didengar di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Muhamed Tahir kepada pihak media hari ini selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Catherine Nicholas.

Menurut Muhammad Asraf, dalam pengurusan kes tersebut pihak pendakwaan turut membantah permohonan yang dikemukakan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan itu.

“Mahkamah kemudian menetapkan tarikh-tarikh bagi pihak-pihak memfailkan afidavit jawapan dan hujahan,” katanya.

Ahli Parlimen Muar itu selaku pemohon memfailkan notis permohonannya pada 19 Ogos lalu di pejabat pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini melalui Tetuan Haijan Omar & Co. dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Peguam Haijan Omar memberitahu pihak media, permohonan itu dikemukakan atas alasan terdapat isu-isu perlembagaan yang lebih sesuai untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Dalam permohonan itu, Syed Saddiq turut memohon perintah agar perbicaraan di kedua-dua Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi.

Pada 22 Julai lalu, beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap tuduhan pecah amanah dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) berjumlah RM1 juta, tahun lalu.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.

Pada 5 Ogos lalu, Ahli Parlimen Muar itu didakwa pula di Mahkamah Sesyen Johor Bahru terhadap dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

Di Kuala Lumpur, beliau dalam kapasitinya selaku Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), didakwa pecah amanah dana yang diamanahkan di bawah penguasaannya.

Beliau dituduh melakukan pecah amanah jenayah dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui satu cek tanpa kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral di sini pada 6 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Syed Saddiq didakwa telah curangnya menyalahguna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000 yang dikutip menerusi akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Beliau didakwa berbuat demikian antara 8 April 2018 sehingga 21 April 2018 di Maybank Islamic Berhad yang beralamat di No 16 & 16A, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya, di sini.

Pendakwaan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Di Johor Bahru, beliau didakwa melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memindahkan wang berjumlah RM100,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Ammanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di cawangan Maybank Islamic Berhad Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 614).

Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta atau mana yang lebih tinggi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya